Ahad, 26 Ogos 2018 | 5:08pm
KUALITI udara di Melaka bertambah baik apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga stesen kaji cuaca di negeri ini mencatatkan penurunan.

Kualiti udara di Melaka bertambah baik

MELAKA: Kualiti udara di Melaka bertambah baik apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga stesen kaji cuaca di negeri ini mencatatkan penurunan berbanding semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Shafe’ee Yasin, berkata IPU di negeri ini berada pada bacaan sederhana iaitu 57 hingga 59, berbanding semalam, antara 72 hingga 76.

Katanya, IPU di stesen Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai masing-masing mencatatkan bacaan 57 manakala IPU di stesen Alor Gajah pula mencatatkan bacaan 59.

“Bacaan kualiti udara tidak dapat dijangka, tetapi berdasarkan pemerhatian ia terus mencatatkan aliran penurunan atas faktor cuaca khususnya hujan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Untuk rekod bacaan IPU menerusi laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), bacaan 1 hingga 50 mencatatkan tahap baik, manakala 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Shafe’ee berkata, cuaca jerebu yang melanda kebanyakan negeri dijangka mulai pulih selepas peralihan monsun dari barat daya ke timur laut menjelang awal Oktober nanti.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan tetap melakukan pemantauan sebagai langkah berjaga-jaga walaupun berlaku penurunan bacaan IPU.

“Diharap penduduk setempat tidak melakukan pembakaran terbuka sehingga menjejaskan kembali kualiti udara,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di laman web APIMS sehingga jam 2.30 petang tadi mendapati hanya IPU di stesen Johan Setia Klang, Selangor mencatatkan bacaan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan 114.

Berita Harian X