Ahad, 26 Ogos 2018 | 10:48am
MENTERI Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof bergambar bersama orang ramai ketika menghadiri majlis ramah mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, di Kampung Ganun, Alor Gajah, semalam. - Foto Amir Mamat

Program kerja sambil belajar untuk lepasan SPM, STPM

ALOR GAJAH: Kementerian Pembangunan Usahawan menawarkan program bekerja sambil belajar kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat dalam bidang itu.

Menterinya, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata langkah terbabit sebagai usaha membimbing golongan terbabit dalam bidang pekerjaan, pada masa sama mengikuti kursus diploma lanjutan di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih.

Beliau berkata, untuk peringkat awal, 1,000 lepasan SPM dan STPM akan dipilih sebagai kumpulan perintis program berkenaan sekali gus berpeluang untuk bekerja dalam pelbagai sektor di 50 syarikat persendirian di seluruh negara.

Katanya, setiap daripada mereka akan bekerja lima hari seminggu dibayar elaun sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan, manakala pada hujung minggu pula mereka akan mengikuti kursus di IPT.

"Sebahagian daripada elaun mereka akan digunakan untuk membayar yuran pengajian selama tiga tahun sebelum menerima Advanced Diploma United Kingdom yang diiktiraf oleh 88 negara. Ini bermakna, peluang mereka bekerja di luar negara pada masa akan datang adalah cerah.

"Ini adalah peluang keemasan untuk anak muda. Daripada menghabiskan waktu dengan perkara tidak berfaedah, lebih baik mereka menyertai program ini yang sudah pasti menjamin masa depan mereka," katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, di Kampung Ganun, di sini, semalam.

Yang turut hadir, EXCO Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan.

Sementara itu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata siswazah menganggur turut berpeluang bekerja dalam pelbagai bidang, termasuk automotif di Jepun menerusi persetujuan beberapa syarikat yang bersedia menerima golongan berkenaan.

Beliau berkata, dengan tawaran gaji yang agak baik, golongan terbabit juga berpeluang meningkatkan pengetahuan bahasa Jepun menerusi kursus intensif selama enam bulan.

"Mereka boleh menghubungi pegawai kita di peringkat negeri atau datang sendiri ke Kementerian Pembangunan Usahawan untuk sebarang maklumat lanjut serta pertanyaan," katanya.

Berita Harian X