Isnin, 20 Ogos 2018 | 12:08pm

Sultan Kedah ziarah Pusara RAMD

PORT DICKSON: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkenan mencemar duli ke acara Memperingati Pahlawan di Pusara RAMD, Persiaran Pahlawan di sini pagi ini.

Acara bermula dengan majlis tahlil yang dipimpin Pegawai Staf 1 Pegawai Masjid Jabatan Arah (Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Leftenan Kolonel Mohd Hamzah Adam.

Selepas itu baginda turut menyiram air mawar ke pusara Allahyarham Prebet Ismail Sutan Jamil yang terkorban ketika bertempur dengan pengganas komunis di Mengkuang, Pahang pada 8 September 1950.

Di Pusara RAMD terdapat 222 perkuburan iaitu 150 awam dan 72 anggota tentera.

Turut hadir, Raja Muda Kedah, Tunku Sarafuddin Badlishah; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, Pengerusi RAMD, Leftenann Jeneral Datuk Azizan Md Delin, Panglima 3 Divisyen dan Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Baginda kemudiannya berangkat ke Majlis Santapan di Wisma Perwira RAMD bersama pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan pesara RAMD.

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan menyiram air di pusara sempena Majlis Memperingati Pahlawan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sempena Hari Ulang Tahun RAMD di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Port Dickson, Negeri Sembilan. Turut bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X