Sabtu, 18 Ogos 2018 | 4:55pm
GAMBAR hiasan.

LP Miri catat IPU paling tinggi

KUALA LUMPUR: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi dan sangat tidak sihat dengan bacaan 228, setakat jam 3 petang hari ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan sederhana kecuali di sekitar Kangar, Perlis; Langkawi dan Alor Setar, Kedah dan di Tawau, Sabah yang mencatatkan IPU baik.

Sementara itu, beberapa kawasan mencatatkan IPU sederhana seperti di Mukah, Sarawak (85), Kuala Selangor (84), Batu Muda, Kuala Lumpur (83) serta beberapa kawasan lain di Kuala Lumpur yang masing-masing mencatatkan bacaan IPU sederhana di bawah 90.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut melancarkan Operasi Pembenihan Awan semalam, bagi menangani masalah kebakaran tanah gambut yang berlaku di Kampung Johan Setia, Klang, Selangor.

Ia juga bagi menangani jerebu yang melanda di kebanyakan kawasan di negara ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai yang ingin mengetahui tahap IPU di seluruh negara boleh merujuk laman sesawang http://apims.doe.my untuk mendapat bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Berita Harian X