Sabtu, 11 Ogos 2018 | 4:12pm
Ketua Pegawai Kewangan Bank Persatuan Malaysia Berhad, Ahmad Nizar Rashikin (enam kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM2,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Impian, Jura Abdul Hamid (enam kanan) sempena pelancaran bulan kebangsaan Sekolah Kebangsaan Seri Impian, Kubang Semang. - Foto Syed Ismail Syed Abu Bakar

Bulan Kebangsaan SK Seri Impian Kubang Semang meriah

BUKIT MERTAJAM: Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61 pada 31 Ogos ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Impian Kubang Semang, di sini, melancarkan Bulan Kebangsaan dan sekolah angkat secara besar-besaran, semalam.

Guru Besarnya, Jura Abdul Hamid, berkata acara gilang gemilang itu menyajikan pelbagai acara menarik yang diadakan sehingga 16 September depan, membabitkan penyertaan murid, guru dan ibu bapa.

Katanya, acara itu termasuk menghiasi pekarangan sekolah dengan pelbagai bentuk wau bulan Jalur Gemilang gergasi, mengecat dinding pagar mengikut warna bendera Malaysia dan memasang 140 kaki payung.

Turut diadakan, pertandingan mewarna, big book, membina kad ucapan, deklamasi sajak, perarakan, formasi 61 tahun merdeka, pertandingan basikal berhias, slot bersama tokoh dan senamrobik.

“Untuk sambutan tahun ini yang bertemakan `Sayangi Malaysiaku’, kami memilih bahan terbuang dengan menggunakan 61 tayar terpakai yang ditanam dengan bunga raya atau nama saintifiknya, hibiscus rosa sinensis.

“Kita mahu memperkenalkan kepada 778 murid dan guru mengenai bunga kebanggaan Malaysia sebagai satu tanaman herba yang mudah hidup subur serta mempunyai 1,001 khasiat,” katanya ketika ditemui, di sini.

Berikutan pelbagai kejayaan dan inisiatif yang dilaksanakan pentadbir, SK Seri Impian turut menerima pengiktirafan daripada Bank Persatuan Malaysia Berhad Cawangan Butterworth sebagai sekolah angkat.

Sumbangan Bank Persatuan bernilai RM2,000 disampaikan Ketua Pegawai Kewangannya, Ahmad Nizar Rashikin kepada Jura. Hadir sama, Pengurus Bank Persatuan, Mohamad Farid Muhamad Mustafa; Pegawai Pejabat Pendidikan daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Rohani Omar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Seri Impian, Abdul Ghani Jaafa.

Jura berkata, program itu berjaya dilaksanakan dengan kerjasama ibu bapa yang membantu menyiapkan perhiasan wau dan bahan hiasan lain sebagai simbolik sambutan.

Katanya, ini bagi memberi galakan kepada murid mencapai impian mereka serta terbang setinggi boleh seperti wau di angkasa.

Sementara itu, Abdul Ghani kagum dengan semangat ditunjukkan murid dan guru serta ibu bapa yang bersama-sama menyumbang tenaga untuk menjayakan program berkenaan.

“Saya mahu mengingatkan warga sekolah ini agar terus mengenang jasa pejuang negara yang banyak mengharungi cabaran semasa dalam proses mencapai kemerdekaan,” katanya.

Berita Harian X