Sabtu, 11 Ogos 2018 | 12:18pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil. - Foto Kandau Sidi
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil. - Foto Kandau Sidi

Kanan Tanah 2018 diperjelas kepada umum September ini

MARUDI: Kerajaan negeri akan menganjurkan sesi dialog bagi menjelaskan kekeliruan mengenai pindaan Kanun Tanah Sarawak 2018 yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata dialog itu akan dianjurkan September ini, dengan tumpuan penduduk di luar bandar bagi menerangkan secara terperinci pindaan yang terkandung dalam undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini ada banyak rungutan, khususnya dalam kalangan penduduk rumah panjang yang keliru mengenai pindaan itu.

“Salah faham mengenai Kanun Tanah Sarawak 2018 tercetus disebabkan kekurangan kefahaman mengenai pindaan kanun berkenaan.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menerangkan secara terperinci pindaan itu supaya ia tidak mudah disalah tafsir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis ‘Gawai Mangkung Tiang’ di Jalan Sungai Arang B, Bakong Hilir, di sini, hari ini.

Dr Penguang berkata, ketua masyarakat atau ‘Tuai Rumah’ perlu menghadiri perbincangan itu bagi mengetahui fakta mengenai pindaan undang-undang berkenaan untuk diperjelaskan kepada penduduk yang tidak hadir.

“Kerajaan negeri ingin memastikan pindaan ini memberi manfaat kepada penduduk Sarawak, khususnya pemilik tanah hak adat Bumiputera (NCR),” katanya.

Berita Harian X