Jumaat, 10 Ogos 2018 | 7:25pm
LIM Hui Ying dan Yusmadi Yusoff.
LIM Hui Ying dan Yusmadi Yusoff.

Hui Ying, Yusmadi disyorkan sebagai Senator

GEORGETOWN: Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying, yang juga adik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, disyorkan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara selama tiga tahun.

Pelantikan beliau dan seorang lagi calon, bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, sebagai Senator untuk tempoh tiga tahun itu dicadangkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Katanya, kedua-dua mereka dicadangkan bagi menggantikan Siti Aishah Shaik Ismail dan Dr Ariffin SM Omar, yang masing-masing tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Jun lalu dengan usul berkenaan disokong sebulat suara.

Hui Ying, 55, yang juga Pengarah Kempen DAP di Pulau Pinang ketika pilihan raya umum 2013 dan 2018, adalah graduan jurusan ekonomi dari Universiti Malaya.

Yusmadi, 44, pula seorang peguam yang pernah menjadi Ahli Parlimen Balik Pulau selama sepenggal pada bermula 2008.

Selain itu sidang DUN Pulau Pinang hari ini, turut meluluskan usul melantik seramai 10 Ahli Jawatankuasa Kira-Kira negeri (PAC) bagi Mesyuarat DUN Ke-14.

Usul lantikan Ahli Jawatankuasa PAC negeri itu diluluskan menerusi undi sebulat suara selepas bacaan kali kedua oleh Kon Yeow.

Beliau, ketika membacakan usul berkenaan, mencadangkan Jawatankuasa PAC negeri itu dipengerusikan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Katanya, Lee Chun Kit (PH-Pulau Tikus); Syerleena Abdul Rashid (PH-Seri Delima); M Satees (PH-Bagan Dalam); Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) dan Dr Norlela Ariffin (PH-Penanti) dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan

“Gooi Hsioa-Leung (PH-Bukit Tengah); Muhammad Faiz Fadzil (PH-Permatang Pasir); Zolkifly Md Lazim (PH-Teluk Bahang) dan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) juga dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa ini.

“Ahli Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk memeriksa sebarang kira-kira atau Laporan Juru Audit Negara yang dibentangkan kepada DUN, selain diberi kuasa untuk memanggil orang menghadapinya serta mendapatkan usul atau risalah bagi tujuan demikian,” katanya.

Pada sidang sama, usul melantik Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan; Dewan; Peraturan-Peraturan Dewan dan Perlembagaan turut mendapat sokongan sebulat suara.

Berita Harian X