Jumaat, 10 Ogos 2018 | 7:00pm
YANG Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid. - Foto Faiz Anuar
YANG Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid. - Foto Faiz Anuar

MDKL senarai hitam penganjur ingkar syarat

KUALA LANGAT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan menyenarai hitam nama mana-mana penganjur yang gagal mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Amaran itu dikeluarkan susulan sikap pihak yang sengaja membuang sampah merata-rata dalam satu program di Pantai Morib di sini, baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid, berkata tindakan itu bukan hanya mengundang rasa tidak selesa pengunjung lain, malah mencemarkan pemandangan pantai berkenaan.

“Sikap seumpama ini kerap menggagalkan usaha kita menangani isu melupuskan sampah dengan cara betul dan menjadi faktor utama wujud lokasi pembuangan sampah haram.

“Pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta bertungkus-lumus memastikan kelestarian alam sekitar kekal terjamin dengan menjalankan pelbagai aktiviti.

“Namun, malang apabila ada masyarakat tidak bertanggungjawab yang sengaja membuang sampah merata-rata di Pantai Morib,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Mohamad Zain berkata, berdasarkan kelulusan diberikan, MDKL jelas menyatakan syarat yang perlu dipatuhi pihak penganjur, antaranya ialah memastikan pantai dalam keadaan bersih dan bebas daripada sampah-sarap.

“Justeru, saya mengingatkan pihak yang menganjurkan aktiviti di Pantai Morib sentiasa mematuhi syarat ditetapkan jika mereka tidak mahu nama disenaraihitamkan.

“Tindakan lebih tegas akan dikenakan ke atas mereka jika gagal berbuat demikian,” katanya.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya melihat pihak tidak bertanggung jawab sengaja membuang sampah di kawasan larangan.

Berita Harian X