Khamis, 9 Ogos 2018 | 2:57pm
PENGERUSI BFHI, Dr Nik Azrita Ariffin.

KPJ Pasir Gudang diiktiraf Hospital Rakan Bayi

JOHOR BAHRU: Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang menjadi hospital swasta ketiga di Johor yang diiktiraf Kementerian Kesihatan sebagai Hospital Rakan Bayi (BFHI).

Pengerusi BFHI, Dr Nik Azrita Ariffin, berkata ia adalah hasil usaha berterusan hospital itu yang aktif memberi sokongan, galakan serta menerapkan ilmu dan menganjurkan kempen penyusuan susu ibu dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang juga Doktor Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di hospital itu berkata, inisiatif untuk menjadi Hospital Rakan Bayi dilancarkan sejak tahun 2016 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Johor dan Pusat Laktasi Kebangsaan.

“Antara aktiviti dijalankan ialah memberi pendedahan kursus pengurusan penyusuan, selain pihak hospital komited membantu dan mendidik ibu menyusukan bayi mereka ketika berada di hospital sebelum meneruskan amalan itu apabila kembali ke rumah sehingga anaknya berusia dua tahun.

“Kakitangan turut menjalani latihan selain menghadiri kursus kaunseling dan program pengucapan awam bagi pengisian ilmu penyusuan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Nik Azrita berkata, pihaknya memiliki kelab sokongan yang dikelolakan oleh Kaunselor Laktasi bagi membantu ibu yang mempunyai masalah ketika menyusukan bayi, terutama selepas kelahiran atau masalah berkaitan penyusuan.

“Kejayaan hospital ini diharap menjadi inspirasi kepada hospital swasta lain menyertai BFHI bagi menjayakan kempen penyusuan susu ibu. Selaras pengiktirafan ini, diharap masyarakat dapat membantu wanita bekerjaya melaksanakan penyusuan bayi,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu menyaksikan majlis penyerahan plak sijil BFHI oleh Timbalan Pengarah Kesihatan bahagian Perubatan, Dr Izam Sulaiman yang mewakili Pengarah Kesihatan Johor kepada Pengarah Perubatan KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital, Dr Ab Razak Samsudin.

Hospital Rakan Bayi adalah satu program antarabangsa yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan turut mendapat sokongan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1992.

Ia bagi memberi galakan agar semua hospital mengamalkan penyusuan bayi sepenuhnya dengan melatih kakitangan hospital mempraktikkan amalan penyusuan susu ibu.

Berita Harian X