Khamis, 9 Ogos 2018 | 2:44pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Latihan simulasi Rapid Rail berkonsep ekstrem esok

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan mengadakan latihan simulasi berskala besar berkonsepkan suasana cemas tahap ekstrem di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berintegrasi Putra Heights, Selangor.

Latihan tahunan itu akan dijalankan selama empat jam, bermula jam 12 tengah malam esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Khairani Mohamed, berkata latihan membabitkan laluan LRT Ampang-Sri Petaling dan Kelana Jaya itu antara lain bertujuan memastikan perkhidmatan rel LRT yang lebih efektif, selamat dan berkelas dunia.

Bagi memastikan ia berjalan lancar, katanya, latihan itu akan membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Latihan simulasi ini akan menunjukkan situasi tren terbabas, kebakaran di stesen dan penumpang panik mencerobohi rel terbabit.

“Senario simulasi sengaja dipilih ke tahap ekstrem kerana Rapid Rail mahu memastikan staf terbabit sentiasa bersedia dengan tindakan kecemasan termasuk kaedah komunikasi serta kerjasama dengan agensi kecemasan seperti PDRM, JBPM dan APM.

“Saya harap latihan ini berjalan lancar dan orang awam tidak ‘gempar’ apabila terdengar bunyi siren bomba dan ambulans ketika latihan itu dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairani berkata, latihan itu juga bagi menguji tahap kesiapsiagaan anggota penyelamat termasuk prosedur operasi standard (SOP) kecemasan yang perlu disemak secara berskala bagi memastikan ia teratur dan sempurna.

“Keselamatan penumpang adalah keutamaan nombor satu Rapid Rail. Oleh itu, kita perlu sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan.

“Walaupun tidak pernah berdepan insiden besar, kakitangan Rapid Rail tidak boleh leka dan mengambil risiko terhadap isu kecemasan,” katanya.

Berita Harian X