Khamis, 9 Ogos 2018 | 12:23pm
TIGA beradik tunai haji serentak, (dari kiri) Azhar Ariffin, Azri dan Aziman, dari Bandar Baru Uda, Johor Bahru mendaftar di Kompleks Tabung Haji (TH) sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Foto Samadi Ahmad
TIGA beradik tunai haji serentak, (dari kiri) Azhar Ariffin, Azri dan Aziman, dari Bandar Baru Uda, Johor Bahru mendaftar di Kompleks Tabung Haji (TH) sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Foto Samadi Ahmad

Tunai haji serentak

SEPANG: Tiada yang lebih menggembirakan bagi tiga lelaki bersaudara apabila berpeluang menunaikan haji secara serentak ketika usia masih muda.

Bagi Azhar Ariffin, 34, dan dua lagi adik lelakinya, Azri, 31, dan Aziman, 27, dari Bandar Baru Uda, Johor Bahru, peluang mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci secara serentak itu adalah rahmat Allah yang cukup besar.

Azhar, seorang eksekutif syarikat swasta berkata, mereka berterima kasih kepada ibu bapa kerana memberi galakan kepada mereka untuk mengerjakan ibadat haji pada usia muda.

Katanya, atas nasihat ibu bapa, mereka membuka akaun dengan Tabung Haji (TH) pada 2008 dan tidak menyangka menerima tawaran serentak untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

“Biarpun agak berdebar, kami sungguh teruja apabila mendapat tawaran menunaikan haji daripada TH tahun ini. Ibu bapa banyak membantu kami termasuk membuat simpanan awal di TH kerana ketika itu, kami masih kecil dan bersekolah.

“Selepas bekerja, barulah kami menambah simpanan sendiri di TH bagi membolehkan kami menunaikan ibadat haji,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

Azri yang bekerja sebagai jurujual di syarikat komputer di Kuala Lumpur, berkata menunaikan haji bersama adik-beradik banyak memberi kebaikan dari segi perkongsian ilmu dan sokongan moral.

Beliau yang mengikuti pengajian separuh masa di UTM Space, berkata peluang menunaikan haji bukanlah satu kebetulan, sebaliknya ia hasil usaha ibu bapa mereka sejak awal.

“Kami berterima kasih kepada ibu bapa kerana banyak membantu dari segi nasihat termasuk menyediakan kelengkapan haji selepas kami menerima tawaran TH,” katanya.

Aziman yang bekerja di syarikat teknologi maklumat dan mengambil cuti tanpa gaji, pula berkata mereka bersyukur kerana impian mengerjakan ibadat haji pada usia muda dimakbulkan Allah.

Di Tanah Suci nanti, katanya, mereka akan melakukan sebanyak mungkin amalan, ibadat serta berdoa semoga sentiasa dirahmati dan diberikan kesejahteraan.

Berita Harian X