Selasa, 7 Ogos 2018 | 9:27pm
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Johari Ismail, 51 (tiga dari kiri), Makwan Bee Majid, 59 (dua dari kanan) dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains, Bukhari Valen Abdullah, 55 (empat, kanan) melihat buku panduan USM bersama pelajar baharu yang lain selepas Majlis Sambutan Siswa Baharu Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini. Mereka antara pelajar paling tua dari 984 pelajar baharu yang mendaftar memasuki USM. - Foto BERNAMA

Makwan tunai impian lanjut pengajian di USM

NIBONG TEBAL: Walaupun permohonan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) ditolak lebih dari tiga kali, namun ini tidak menghalang seorang ibu tunggal untuk terus memohon hingga akhirnya impian menyambung pengajian di peringkat sarjana muda tercapai.

Berbekalkan semangat tinggi untuk belajar, Makwan Bee Majid, 59, sekali lagi membuat permohonan dan kali ini rezeki menyebelahinya apabila beliau ditawarkan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (USM) bagi Sidang Akademik 2018/2019.

Walaupun umur hampir mencecah 60 tahun, ibu tunggal kepada dua anak itu tidak menjadikan ini sebagai alasan untuk tidak merealisasikan impiannya menggenggam segulung ijazah.

"Saya berasa gembira dan berterima kasih kepada Allah selepas menerima tawaran ini… Lebih manis lagi tawaran ini saya anggap sebagai hadiah hari jadi saya yang jatuh pada Sabtu ini (11 Ogos)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Siswa Lestari di Kampus Kejuruteraan USM, di sini hari ini.

Makwan adalah antara 984 pelajar baharu RPJJ bagi Sidang Akademik 2018/2019 yang mengikuti program ijazah sarjana muda dalam empat rancangan pengajian utama iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.

Sehingga kini, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM berjaya melahirkan seramai 24,336 graduan dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya pada tahun 1971.

Makwan yang juga jurulatih kecergasan kebangsaan sambilan berkata walaupun sudah mempunyai diploma Pengurusan Organisasi dari Universiti Malaya (UM), beliau tidak mahu berhenti di situ sebaliknya meneruskan usaha untuk menambah ilmu.

Sementara itu, Johari Ismail, 51, mengambil keputusan meneruskan pengajian di USM kerana mahu menjawat jawatan sebagai Kadet Penguasa Gred 41 di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang bertugas sebagai anggota Kadet Penguasa Gred 17 selama 25 tahun berkata sokongan keluarga yang kuat terutama daripada anak sulungnya mendorong beliau untuk meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.

Seorang lagi pelajar, Bukhari Valen Abdullah, 55, turut menjadikan sokongan keluarga sebagai dorongan untuk meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains.

Bukhari yang juga guru tuisyen subjek Fizik, Sains dan Matematik Tambahan itu adalah bekas pelajar Penang Free School dan mempunyai diploma dalam jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). - BERNAMA

Berita Harian X