Sabtu, 28 Julai 2018 | 4:29pm
 SEBAHAGIAN peserta bergambar sebelum memulakan acara larian ketika program Hari Sarapan Malaysia MILO, di Padang Perbandaran Pasir Gudang.
SEBAHAGIAN peserta bergambar sebelum memulakan acara larian ketika program Hari Sarapan Malaysia MILO, di Padang Perbandaran Pasir Gudang.

8,300 menyertai Hari Sarapan Malaysia MILO

JOHOR BAHRU: Menyedari masih ramai penduduk, terutama keluarga kurang berkemampuan tidak bersarapan, MILO bekerjasama dengan Food Aid Foundation untuk mengumpul dana bagi membolehkan yayasan itu membantu golongan berkenaan.

Berikutan itu, MILO menganjurkan Hari Sarapan Malaysia MILO di Padang Perbandaran Pasir Gudang, di sini, hari ini, dengan sebahagian daripada yuran penyertaan diagihkan kepada NGO itu untuk menyediakan sarapan kepada mereka yang memerlukan.

Pengurus Jenama Kanan, Unit Perniagaan MILO, Nestle (Malaysia) Berhad, Nuraina Tajuddin, berkata sarapan adalah sajian paling penting bagi memastikan setiap orang kekal bertenaga sepanjang hari.

Katanya, setiap manusia perlu bersarapan serta memilih pemakanan sihat dan seimbang, secawan MILO dengan ACTIV-GO mengandungi kebaikan semula jadi malt, susu dan koko dan kombinasi PROTOMALT memberikan pelbagai vitamin serta mineral bagi membantu membebaskan tenaga secara berkesan untuk kehidupan seharian.

"Tahun ini, kami bertekad mendekati keluarga kurang bernasib baik untuk memastikan mereka memahami manfaat bersarapan. Malah, buat pertama kali kami bekerjasama dengan Food Aid Foundation.

"Bagi setiap jualan tiket acara larian Hari Sarapan Malaysia MILO, sebanyak RM5 disalurkan kepada penajaan sarapan untuk keluarga memerlukan di semua lokasi kempen ini di seluruh negara," katanya ketika ditemui pada Hari Sarapan Malaysia MILO di Padang Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Pelepasan larian disempurnakan Setiausaha Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Sulaiman Ismail dan turut dihadiri wakil Food Aid Foundation, Johann Ong Kean Hooi.

Nuraina berkata, penganjuran kempen itu di Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Pulau Pinang mencatatkan 36,000 peserta manakala kempen di Pasir Gudang disertai 8,300 penduduk.

"Selain larian amal, pelbagai pengisian diadakan pada kempen itu dan menerima sambutan menggalakkan termasuk sesi memanaskan badan, persembahan gaya bebas pemain bola sepak profesional, zumba, persembahan pasukan sorak, cabutan bertuah, demonstrasi sarapan kreatif Chef Brian, nasihat daripada pakar nutrisi, pertandingan sarapan kreatif dan zon interaktif," katanya.

Sementara itu, Johann berkata, menerusi larian amal peserta dapat beramal dengan menaja sarapan berkhasiat kepada keluarga kurang berkemampuan.

"Kami menghargai inisiatif MILO dalam usaha memastikan golongan kurang berkemampuan tidak ketinggalan mendapatkan sarapan berkhasiat dan seimbang," katanya.

Kempen berkenaan akan diadakan di Padang Kompleks Sukan 2, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, pada 4 Ogos ini dan Dataran Putrajaya Presint 3, Putrajaya, pada 11 dan 12 Ogos.

Berita Harian X