Khamis, 26 Julai 2018 | 12:41pm
SULTAN Nazrin berbual dengan pelajar ketika melawat Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPK selepas merasmikan Masjid Raja Permaisuri Bainun, Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPK dan Perpustakaan Raja Ashman Shah di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof
SULTAN Nazrin (kanan) merasmikan Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPK dan Perpustakaan Raja Ashman Shah di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. Turut sama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (dua dari kiri) dan Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi (kiri). - Foto Abdullah Yusof

Sultan Perak rasmi tiga kemudahan baharu USAS

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan tiga bangunan baharu di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Sultan Nazrin yang juga Canselor USAS berkenan menyempurnakan lafaz perasmian Masjid Raja Permaisuri Bainun, Dewan Penginapan Mahasiswa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Perpustakaan Raja Ashman Shah dengan menandatangani plak perasmian.

Terdahulu, baginda turut berkenan menonton video montaj perasmian ketiga-tiga bangunan baharu itu dan kemudian melawat Perpustakaan Raja Ashman Shah serta Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk.


SULTAN Nazrin (kanan) dan Tuanku Zara Salim (dua kanan) melihat pameran ketika melawat Perpustakaan Raja Ashman Shah selepas merasmikan Masjid Raja Permaisuri Bainun, Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPK dan Perpustakaan Raja Ashman Shah di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof

Sementara itu, Nordin dalam ucapannya berkata, dengan perasmian nama masjid dan perpustakaan yang baharu itu, diharap akan mengekalkan hubungan fizikal dan rohani secara turun-temurun antara USAS dengan keluarga Diraja Perak.

"Alangkah berertinya kepada USAS jika suatu hari nanti akan menjadi tempat pilihan keluarga diraja mendapatkan ilmu pengajian tinggi. Apabila hal itu terjadi nanti bertambah-tambah tinggilah martabat USAS," katanya.

Menurutnya, dengan itu USAS mulai sekarang hendaklah bekerja keras mempersiapkan diri dengan menyediakan pengajian tinggi yang kualitinya bertaraf dunia.

Beliau berkata, bagi dewan penginapan pula ia dibina dengan pembiayaan MAIPk setinggi lima tingkat dan mempunyai 75 unit kediaman serta mampu menempatkan lebih 700 penghuni yang sudah mula diduduki pelajar pada Januari lalu.

"USAS sangat berterima kasih kepada semua ahli majlis MAIPk yang sebulat suara menyokong supaya bangunan ini dibiayai," katanya.

INFO

* Masjid Raja Permaisuri Bainun bercirikan kontemporari Melayu moden dibina setinggi dua tingkat dan dapat menampung seramai 2,000 jemaah merangkumi keluasan tanah 2,255.4 meter persegi.

* Perpustakaan Raja Ashman Shah dahulunya dikenali sebagai Perpustakaan USAS yang mula beroperasi di Ipoh pada 1999 dan berpindah ke bangunan baru di Kuala Kangsar pada 2008.

* Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk diluluskan pembeliannya pada 2015 bagi menampung peningkatan pelajar USAS dengan membabitkan dua blok bangunan lima tingkat bernilai RM13.5 juta serta mampu menampung 720 pelajar dalam satu masa.

Berita Harian X