Ahad, 22 Julai 2018 | 5:51pm
PENGUSAHA kebun durian Musang King Fong Yok Fong, 50, atau lebih dikenali Tina Chong mengikat durian Musang King agar tidak jatuh di atas tanah di kebunnya di Kampung Pulai. - Foto BERNAMA

Pengusaha ceria harga durian musang king kembali naik

GUA MUSANG: Harga durian musang king yang merudum akhir bulan lalu kembali meningkat semula berikutan permintaan tinggi di pasaran khusus untuk eksport hingga mencecah RM40 sekilogram bagi gred A.

Berikutan itu, pengusaha kebun durian jenis terbabit di daerah ini mengambil langkah menghentikan jualan di pasaran tempatan bagi mengelakkan persaingan durian kampung yang melambak sejak kebelakangan ini.

Pengasas durian musang king pertama di daerah ini, Chong Yok Fong, 50, berkata, turun naik harga durian jenis itu adalah perkara biasa kerana ia bergantung kepada hasil pengeluaran.

Beliau yang dikenali sebagai Tina Chong mengakui harga durian itu jatuh teruk baru-baru ini sehingga RM20 sekilogram kerana lambakan durian jenis itu daripada negeri Pahang dan Johor.

Bagaimanapun, katanya, lambakan durian musang king dari negeri terbabit kini sudah berkurangan dan ini menyebabkan raja buah dari daerah ini pula dapat dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Taiwan yang mendapat permintaan tinggi.

Kebun saya mampu mengeluarkan 4,000 biji musim ini kerana 500 daripada 1,000 pokok mengeluarkan hasil berbanding tahun lalu hanya 600 biji saja.

"Tetapi, ketika pengeluaran hasil kurang tahun lalu harga pasaran eksport melonjak hingga mencecah RM100 sekilogram," katanya ketika ditemui di kebun durianya di Kampung Pulai, di sini.

Tina Chong berkata, beliau mengikuti pelbagai kursus sama ada di dalam dan luar negara terutama di Thailand bagi mendapat ilmu untuk menghasil durian bermutu tinggi.

Beliau menceburi bidang itu ketika usia 20 tahun dengan memiliki 20 hektar tanah yang diusahakan dengan tanaman durian dan dibantu ahli keluarga serta lima pekerja.

Berita Harian X