Jumaat, 20 Julai 2018 | 6:02pm
MUHAMAD Hafiz dan Farish Faiz.
MUHAMAD Hafiz dan Farish Faiz.

Pejabat kebajikan cari 2 ibu kandung

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat meminta dua ibu kandung kepada kanak-kanak yang ditinggalkan sejak 2015 tampil bagi membantu urusan pendaftaran lewat kelahiran.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Ezaq Ekmal Khalid berkata, pihaknya meminta dua ibu kandung kepada kanak-kanak bernama Farish Faiz dan Muhamad Hafiz supaya berbuat demikian bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima rujukan daripada Jabatan Kerja Sosial Hospital Kajang pada 10 Ogos 2015 mengenai seorang kanak-kanak lelaki bernama Farish ditinggalkan di wad bersalin Hospital Kajang.

"Usaha mengesan ibu kandung yang dikenali dengan nama Siti Nur Mustamin Hasan dan dikatakan berasal dari Indonesia itu dijalankan oleh saya ke alamat terakhir ibu kandung kanak-kanak di Blok A 03-12 Flat Seri Haneco , Semenyih.

"Bagaimanapun didapati beliau menghilangkan diri dari rumah terbabit dan kediaman itu didiami oleh penyewa lain.

"Sejak itu ibu kandung tidak dapat dikesan dan laporan polis dibuat oleh saya dan berharap siaran berita ini dapat membantu mengesan ibu kandung kepada kanak-kanak untuk tindakan pihak kami selanjutnya," katanya.

Beliau juga berkata, bagi kes Muhamad Hafiz pula, pihaknya menerima rujukan daripada Jabatan Kerja Sosial Hospital Ampang pada 6 November 2015 yang menyatakan ibu kandung kepada kanak-kanak itu didapati menggunakan kad pengenalan Noraini Izzati Abdullah untuk melahirkan anak.

"Kanak-kanak ditahan di wad bersalin Hospital Ampang dan pihak kami menyelamatkan kanak-kanak ini dan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.

"Sejak itu, perempuan yang menampilkan diri sebagai ibu kandung kanak-kanak berkenaan sudah dua kali hadir ke pejabat untuk menuntut kanak-kanak tetapi tidak mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan selepas itu, ibu kanak-kanak gagal dihubungi," katanya.

Berita Harian X