Sabtu, 14 Julai 2018 | 4:34pm
FOTO hiasan.

FAMA nafi lambakan durian di Pahang

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menafikan berlakunya lambakan pelbagai jenis durian, termasuk Musang Kingdi negeri ini hingga menyebabkan harganya jatuh.

Pengarahnya, Rosli Aw Da berkata, tinjauan pihaknya mendapati pengeluaran durian di negeri ini masih di peringkat awal terutama membabitkan beberapa daerah seperti Raub, Bentong, Lipis dan Jerantut.

Katanya, kemuncak pengeluaran dijangka berlaku awal bulan depan apabila durian gugur secara serentak di semua daerah yang akan menyebabkan harganya lebih murah berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pengeluaran durian kini tertumpu di beberapa daerah di Johor, selain dari negeri jiran yang kini banyak berada di pasaran terutama di daerah Kuantan, Pekan, Temerloh dan Maran.

"Kita tidak bimbang sekiranya pengeluaran durian berlaku secara serentak dengan jumlah yang banyak, produk hiliran seperti tempoyak boleh dihasilkan oleh beberapa usahawan di beberapa daerah.

"FAMA Jerantut juga terbabit menghasilkan tempoyak dan pes untuk pasaran tempatan dan luar Pahang dengan harga antara RM25 hingga RM40 sekilogram (kg)," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, permintaan tinggi penduduk di China terhadap beberapa jenis durian klon termasuk 'Musang King' dapat mengelak berlakunya lambakan seterusnya kejatuhan harga hingga merugikan pekebun.

Rosli berkata, difahamkan harga durian kampung di peringkat ladang kini antara RM3 dan RM5 sekilogram, iaitu masih tinggi dan memberi pendapatan lumayan kepada pekebun di kawasan luar bandar.

"Saya menasihatkan individu yang mempunyai jumlah pokok yang banyak yang dijangka menghasilkan buah secara serentak supaya memikirkan cara terbaik bagi mengelak berlaku lambakan dan buah rosak.

"Pekebun boleh hubungi FAMA Jerantut untuk tujuan pasaran selain menghasilkan produk hiliran seperti tempoyak," katanya.

Seorang pekebun durian yang hanya mahu dikenali sebagai Basri di Kampung Ulu Dong, Raub berkata, pengeluaran durian di kawasannya dan beberapa kampung berhampiran berlaku awal bulan depan.

"Pengeluaran buah kali ini begitu banyak. Hampir setiap pokok mengeluarkan buah antara 30 hingga 80 biji, bagi pokok bersaiz besar mencapai 100 biji.

"Saya berharap harga tidak jatuh terlalu rendah kerana difahamkan Musang King kini berharga RM20 sekilogram," katanya yang juga pesara Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Berita Harian X