Selasa, 10 Julai 2018 | 2:10pm
RAZANI (baju merah) melayan pelanggannya memilih durian yang dijual di Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Durian harga runtuh

KUALA NERUS: "Tidak kisah jika peniaga lain mengecam kerana menjual durian dengan harga rendah kerana niat saya untuk membantu penduduk yang tidak berkemampuan menikmati raja buah itu," kata peniaga, Razani Abd Rani, 43.

Razani bersama ahli keluarganya menjual pelbagai jenis durian termasuk 101, D24, D13, D88, dan KW di Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir di sini dengan harga antara RM10 hingga RM15 sekilogram.

Sementara, durian kampung antara RM10 hingga RM30 selonggok.

Katanya, walaupun durian kampung yang dijual gred C, namun isinya setanding durian bergred tinggi.

"Saya sengaja menjual secara longgok iaitu antara lima hingga tujuh biji supaya peminat durian di negeri ini berpeluang menikmatinya dengan kadar harga yang berpatutan.

"Ramai peminat durian bersungut kerana harga di negeri ini masih mahal sedangkan di negeri lain seperti Johor, Perak dan Pahang lebih murah sehingga ada peminat durian yang sanggup ke negeri berkenaan semata-mata untuk membeli buah itu," katanya ketika ditemui NSTP, semalam.

Justeru, Razani yang mula berniaga sejak akhir bulan lalu mengambil inisiatif untuk membantu mereka dengan mengambil durian dari Johor dalam kuantiti banyak dan menjual di negeri ini dengan harga murah.

"Ternyata usaha saya itu mendapat sambutan menggalakkan apabila tujuh tan durian terjual setiap hari.

"Malah, permintaan juga amat memberangsangkan sehingga ada pelanggan yang menempah awal selain sanggup ke gerai kami seawal jam 9 pagi untuk membeli durian murah," katanya.

Menurutnya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat, malah ada yang datang dari Kemaman untuk membeli raja buah itu.

Berikutan permintaan, dia meminta seorang daripada anaknya membuka gerai durian dengan tawaran harga yang sama di daerah itu.


DURIAN kampung yang dijual tepi jalan dengan harga RM10 selonggok di Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

"Niat saya hanya ingin membantu peminat durian membeli dan menikmati buah itu.

"Sudah lama durian dijual dengan harga mahal. Apabila musim durian kali ini menjadi, saya mengambil peluang untuk menjualnya dengan harga murah," katanya.

Menurutnya, dia berasa seronok melihat peminat durian teruja membeli durian di gerainya, malah kebanyakan mereka tidak mempersoalkan mengenai harga kerana menyifatkan paling murah di negeri ini.

"Saya memberi pilihan kepada setiap pembeli untuk memilih sendiri. Mereka boleh membukanya terus untuk memastikan isi durian itu baik.

"Tetapi jika dikopek di rumah dan rosak, ia boleh ditukar dengan durian lain pada bila-bila masa, " katanya.

Sementara pelanggan, Sufian Abdullah, 45, dari Kampung Seberang Bukit Tumbuh berkata, dia sudah lama teringin untuk makan durian tetapi harganya yang agak mahal menyebabkan dia tidak mampu dan terpaksa melupakan hasrat itu.

"Jika diikutkan masih ramai peniaga yang menjual durian secara timbang. Jika ada yang jual secara longgok ia tetap dijual mahal iaitu RM25 untuk tiga biji.

"Apabila ada gerai yang menjual durian dengan harga RM10 selonggok ia mengembalikan kenangan ketika zaman 90-an dan murah itu akan menjadi rebutan pembeli," katanya.

Berita Harian X