Selasa, 3 Julai 2018 | 7:32pm
AMANDA (kanan) pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kilang Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
AMANDA (kanan) pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kilang Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Lynas sedia kerjasama, kaji operasi kilang

KUANTAN: Lynas Corporation mengalu-alukan sebarang kajian yang ingin dilakukan mana-mana pihak mengenai cara kerja dan prosedur dilakukan kilang memproses nadir bumi itu di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama terhadap kajian yang ingin dilakukan kerana Lynas Corporation sebuah entiti korporat yang telus dalam menjalankan sebarang urusan.

"Kita yakin sudah mendapatkan lesen mengikut syarat ditetapkan (kerajaan sebelum ini)...Pihak berkuasa sebelum ini tahu kita menjalankan operasi secara selamat kepada orang ramai dan juga kepada alam sekitar.

"Kami mengalukan sesiapa sahaja untuk lakukan kajian mengenai operasi kami kerana kami tahu cara kami bekerja selamat kepada semua pihak," katanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri di kilang Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebelum ini mencadangkan satu jawatankuasa khas dapat diwujudkan bagi menyelesaikan isu berkaitan operasi kilang Lynas di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu diajukan kepada Kabinet dan menteri berkaitan sebelum dilaksanakan.

Amanda berkata, kewujudan kilang Lynas tidak perlu dibimbangi oleh mana-mana pihak kerana mereka sudah mematuhi garis panduan ditetapkan sebelum ini.

Malah, katanya, kewujudan Lynas membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 700 rakyat tempatan dalam pelbagai bidang kemahiran sekali gus membantu merancakkan ekonomi Malaysia.

Pada 2011, Lynas mencetuskan kontroversi apabila operasinya dibantah sebahagian besar penduduk Kuantan yang menganggap kilang itu akan merosakkan alam sekitar selain berbahaya kepada penduduk.

Berita Harian X