Isnin, 2 Julai 2018 | 4:27pm
CHOW Kon Yeow semasa hadir Majlis Ikrar Bebas Rasuah Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang di bangunan FMM Pulau Pinang, Bandar Seberang Jaya. - Foto Danial Saad

MPSP berhasrat peroleh status bandar raya

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai sebuah bandar raya selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memenuhi kriteria ditetapkan, sejak 2008.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata permohonan MPSP untuk mendapatkan status bandar raya sudah lama diusulkan namun tertangguh berikutan dasar mengehadkan sebuah negeri hanya sebuah PBT boleh dinaik taraf.

Katanya, hasrat menjadikan MPSP sebagai bandar raya pernah disuarakan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo.

"Sebelum ini, tiada had diberikan asalkan setiap PBT di mana-mana negeri memenuhi kriteria. Namun sebaik dasar diperkenalkan pada lima atau enam tahun lalu, kita hanya dapat menaik taraf Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai bandar raya.

"Kita akan cuba sekali lagi menaik taraf MPSP sebagai bandar raya. Kita harap Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mengkaji semula dasar ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis MPSP di sini, hari ini.

Seramai 24 individu terdiri dalam kalangan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik memegang jawatan Ahli Majlis MPSP, yang akan berkhidmat sehingga 31 Disember tahun depan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, semua Ahli Majlis yang dilantik diharap dapat berkhidmat dengan baik sesuai dengan keadaan politik baharu yang menegaskan budaya serta amalan integriti, beretika dan pentadbiran yang bersih.

"Nasihat ini bukan untuk Ahli Majlis sahaja tetapi untuk semua barisan kepemimpinan negeri, termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Semua pemimpin perlu pandang serius isu ini kerana kita tidak mahu menghancurkan aspirasi rakyat yang menginginkan sebuah pentadbiran yang positif dan memberi kebaikan kepada mereka," katanya.

Berita Harian X