Jumaat, 29 Jun 2018 | 4:30pm
MOHD Rafiq Naizamohideen menjawab persoalan media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham, hari ini. - Foto BERNAMA
MOHD Rafiq Naizamohideen menjawab persoalan media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham, hari ini. - Foto BERNAMA

Lima syarikat asing minat labur di Melaka

JASIN: Melaka dijangka terus menjadi destinasi tumpuan pelabur apabila lima syarikat asing menyatakan minat untuk melabur di negeri ini.

EXCO Industri, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata antara syarikat berkenaan ialah dari China, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, semua usaha ini (pelaburan) masih dalam proses rundingan meliputi pelbagai aspek di antara kerajaan negeri dan syarikat terbabit.

"Jika usaha ini terlaksana, banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan untuk penduduk tempatan, sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, Mohd Rafiq yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah merasmikan Relau Syarikat Xinyi Glass Holding Limited di Lipat Kajang, di sini.

Xinyi Glass, syarikat pengeluar kaca terbesar China setakat ini menyediakan lebih 800 peluang pekerjaan, malah syarikat terbabit menyasarkan akan menambah sehingga 1,600 pekerja menjelang 2019.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Lim Chow Beng dan Naib Presiden Xinyi Energy Smart, Datuk Liu Xiao Rong.

Mohd Rafiq berkata, projek pelaburan luar negara itu membuktikan kerajaan negeri berdaya dinamik dalam menggalakkan pelabur asing melabur di Melaka.

Berita Harian X