Khamis, 28 Jun 2018 | 10:11pm
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil. - Foto Muhaizan Yahya
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil. - Foto Muhaizan Yahya

KPDNKK serbu 2 premis, rampas barang tiruan

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak menyerbu dua premis dipercayai menjual barangan tiruan di sebuah kompleks menjual barangan borong di bandar raya ini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu, anggota penguat kuasa KPDNKK merampas pelbagai barang tiruan bernilai RM5,150 serta menahan dua lelaki berusia 29 dan 44 tahun masing-masing dipercayai pemilik kedua-dua premis berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, Shamsul Nizam Khalil, berkata risikan dijalankan selama dua minggu sebelum 12 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNKK menyerbu kedua-dua premis perniagaan itu.

Katanya, sebelum serbuan, pekerja di kedua-dua premis berkenaan dapat menghidu kehadiran pegawai KPDNKK dan menutup perniagaan.

"Bagaimanapun, tindakan itu dapat dihalang oleh pegawai risikan yang menyamar sebagai pelanggan dalam premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku pemilik premis dan memaklumkan sudah menjalankan perniagaan selama setahun.

"Pemeriksaan terhadap premis kedua mendapati, lelaki berusia 44 tahun mengaku sebagai pemilik premis telah menjalankan operasi selama empat tahun.

"Dalam kedua-dua serbuan itu, kita menyita 505 unit pelbagai jenis barangan berjenama termasuk NIKE, Puma, Adidas dan Levi's yang dipercayai menggunakan perihal dagangan palsu untuk siasatan lanjut," katanya.

Shamsul Nizam berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh Jun tahun lalu hingga 27 Jun lalu, pihaknya menyelesaikan 16 kes membabitkan perihal dagangan palsu atau barang tiruan.

"Dalam tempoh itu, semua kes berkenaan membabitkan nilai rampasan bernilai RM1,009,452.25," katanya.

Berita Harian X