Khamis, 28 Jun 2018 | 6:07pm
PERMAISURI Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan bergambar bersama kepemimpinan tertinggi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dan pesakit-pesakit kanser pada majlis Jamuan Hari Raya anjuran YKTLJ di Holiday Villa, Johor Bahru, hari ini. Berangkat sama, isteri kepada Tunku Mahkota Johor, YM Che' Puan Khaleeda Bustamam. - Foto ihsan Royal Pres Official

YKTLJ bantu hampir 1,000 pesakit kanser sejak 2016

JOHOR BAHRU: Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), menyalurkan bantuan perubatan kepada 322 pesakit kanser membabitkan peruntukan sebanyak RM1.16 juta, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Anizam Jamian, berkata walaupun baru ditubuhkan pada 2016, yayasan itu memberikan bantuan perubatan kepada 76 pesakit kanser membabitkan peruntukan sebanyak RM172,815.71.

Katanya, angka itu melonjak dengan drastik apabila sepanjang tahun lalu, seramai 566 pesakit kanser diberikan bantuan perubatan membabitkan peruntukan sebanyak RM4.42 juta.

"Walaupun usia yayasan masih baru, berkat bimbingan dan nasihat Permaisuri Johor yang sentiasa prihatin kepada kebajikan pejuang kanser dan kerjasama yang sangat baik dari Jabatan Kesihatan negeri, yayasan ini dapat menubuhkan kemudahan selesa kepada pejuang kanser," katanya berucap pada Majlis Hari Raya YKTLJ, di sini, hari ini.

PERMAISURI Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada seorang daripada pesakit kanser pada majlis Jamuan Hari Raya anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) di Holiday Villa, Johor Bahru, hari ini. - Foto ihsan Royal Pres Official

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris berkenan berangkat pada majlis itu. Turut berangkat, isteri Tunku Mahkota Johor iaitu Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Mohd Anizam berkata, antara kemudahan yang dibina YKTLJ ialah Kompleks Onkologi di Hospital Permai, dekat sini, selain Pusat Rawatan Onkologi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar serta di Hospital Sultanah Aminah (HSA), dekat sini.

Katanya, menerusi inisiatif membangunkan kemudahan seumpama itu, ia dapat memberikan limpahan peluang kepada ramai pesakit kanser mendapatkan perkhidmatan dan rawatan yang lebih baik.

Selain itu, katanya, yayasan juga menggerakkan kumpulan sokongan yang menjalankan lawatan ke hospital dan rumah pesakit kanser di seluruh negeri ini.

"Usaha ini bagi memberikan sokongan dan motivasi bukan sahaja kepada pejuang kanser, malah kepada ahli keluarga mereka," katanya.

Mohd Anizam berkata, usaha mendekati masyarakat bagi memberikan kesedaran terhadap kanser juga digerakkan dengan penganjuran pelbagai program termasuk pameran, ceramah umum, forum perkongsian, dan penerbitan medium cetakan.

Katanya, semua usaha memberikan bantuan dan sokongan kepada pesakit kanser memerlukan dana yang besar dan yayasan bukan jabatan kerajaan yang diberikan peruntukan kewangan tahunan, sebaliknya perlu mencari dana dan menjana sumber kewangan sendiri.

"Alhamdulillah, berkat sokongan tidak berbelah bahagi kerabat diraja Johor dan dermawan, pelbagai program dapat dilaksanakan demi mengumpul dana kewangan yayasan ini.

"Program amal seperti Laksamana Run, Laksamana Ride dan Laksamana Trophy menjadi acara pengumpulan dana yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh dermawan.

"Tahun ini, insya-Allah program Laksamana Run yang akan diserikan dengan penyertaan Tunku Tun Aminah akan diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, pada 28 Julai ini. Yayasan juga dalam perancangan mengadakan konsert amal yang akan diadakan pada September ini," katanya.

Berita Harian X