Jumaat, 22 Jun 2018 | 6:04pm
ANGGOTA APM menangkap seekor ular tedung hitam di Taman Jasmine, Bintulu. - Foto Erika George
ANGGOTA APM menangkap seekor ular tedung hitam di Taman Jasmine, Bintulu. - Foto Erika George

Terkejut tedung hitam di bawah sofa

BINTULU: Sebuah keluarga yang sedang berehat di ruang tamu kediaman mereka di Taman Jasmine di sini, dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung hitam sepanjang hampir satu meter, bersembunyi di bawah sofa kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Pegawai Agensi Pertahanan Awam (APM) Bintulu, Ra'idah Jomi berkata, terkejut dengan kehadiran haiwan berbisa yang bersembunyi keluarga terbabit segera menghubungi pihaknya bagi mendapatkan khidmat khas menangkap reptilia itu.

Beliau berkata, ketika anggotanya tiba, keluarga terbabit mendakwa ular berkenaan sudah menyelinap masuk ke dalam almari pakaian anaknya dan anggota APM terpaksa menyelongkar almari pakaian bagi mengesan ular berkenaan.

"Pihak kita mengambil masa hampir setengah jam untuk menangkap haiwan berbisa dengan menggunakan alat penyepit khas," katanya.

Beliau berkata, ular berkenaan dipercayai masuk ke dalam rumah untuk mencari makanan atau kawasan yang sejuk kerana faktor cuaca panas.

"Cuaca panas ketika ini antara faktor utama menyebabkan haiwan berbisa seperti ular mula mencari tempat perlindungan yang lebih sejuk," katanya.

Sejurus ditangkap, ular tedung terbabit dibawa ke kawasan hutan berdekatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Berita Harian X