Ahad, 17 Jun 2018 | 2:37pm
PENDUDUK, Matjidi Anchar, 67, menunjukkan satu daripada enam buah tangki air yang dibelinya untuk simpanan bekalan air hujan yang di tadah setiap kali hujan, di Kampung Bintuka, Beaufort. - Foto Norasikin Daineh
PENDUDUK, Matjidi Anchar, 67, menunjukkan satu daripada enam buah tangki air yang dibelinya untuk simpanan bekalan air hujan yang di tadah setiap kali hujan, di Kampung Bintuka, Beaufort. - Foto Norasikin Daineh

Hampir 20 tahun tiada bekalan air bersih

BEAUFORT: Kira-kira 350 penduduk di Kampung Bintuka di sini, mendakwa tidak menerima bekalan air bersih dan hanya bergantung dengan air hujan sejak hampir 20 tahun lalu.

Difahamkan, walaupun meter air dipasang di kawasan rumah penduduk sejak 2003 lagi, ia tidak pernah berfungsi.

Penduduk, Matjidi Anchar, 67, berkata disebabkan tiada bekalan air, dia terpaksa membeli enam tangki air untuk menadah air hujan.

"Setiap satu tangki berharga hampir RM500 dan saya kini ada tujuh tangki, termasuk satu daripadanya bantuan daripada kerajaan sebelum ini.

"Kami hanya bergantung pada air hujan, selain air kolam untuk memasak dan mandi," katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dari pekan ini, baru-baru ini.

Matjidi berkata, apabila musim kemarau, penduduk sukar mendapat bekalan air kerana hanya bergantung kepada air hujan semata-mata.

"Kami terpaksa berjimat cermat menggunakan air, terutama musim kemarau kerana hanya ketika hujan sahaja kami dapat bekalan air," katanya.

Beliau berharap, masalah yang dihadapi penduduk di kampung itu sejak berpuluh tahun lalu dapat diselesaikan dengan pimpinan kerajaan baharu kali ini.

"Saya harap meter yang dipasang di kawasan rumah kami dapat berfungsi dan disalurkan dengan bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk kampung," katanya yang juga nelayan di kampung itu.

Seorang lagi penduduk, Timah Burut, 62, berkata walaupun sudah biasa menggunakan air hujan untuk kegunaan harian, dia berharap masalah itu diselesaikan kerana mengambil kira kebersihan air digunakan mereka sekeluarga.

"Air hujan yang digunakan untuk memasak dan minum kadang-kadang dibimbangi tahap kebersihannya, selain kami juga turut menggunakan air kolam sekiranya bekalan air tadahan habis.

"Sumber air yang kami dapat kurang bersih, namun terpaksa juga menggunakannya kerana tiada pilihan selama ini. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan daripada berlarutan sehingga berpuluh tahun lagi," katanya.

Berita Harian X