Sabtu, 16 Jun 2018 | 5:19pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyambut tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, hari ini. - Foto Nadim Bokhari

Kekalkan semangat perpaduan demi Sarawak - Abang Jo

KUCHING: Perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini penting bagi memastikan Sarawak terus maju dan berjaya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata beliau gembira apabila negeri ini terus aman kerana rakyat pelbagai kaum dan agama masih mengekalkan semangat perpaduan.

"Semangat ini perlu kita kekalkan untuk generasi akan datang. Perbezaan tidak memisahkan kita, sebaliknya kita bersatu kerana saling memahami dan menghormati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib. Lebih 10,000 tetamu turut menghadiri rumah terbuka Aidilfitri itu.

Abang Johari berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi rakyat Sarawak kerana ia jatuh pada bulan sama dengan sambutan Hari Gawai Dayak.

"Jadi, kita meraikan Gawai-Raya di Sarawak. Seperti biasa, kita mengadakan rumah terbuka, dengan tetamu dari semua kaum," katanya.

Beliau turut menaruh keyakinan, musim perayaan di negeri ini akan terus menjadi penyumbang kepada pengukuhan hubungan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

"Oleh itu, saya harap rakyat Sarawak terus bersatu dan kita akan berusaha mempertahankannya demi kepentingan dan faedah Sarawak," katanya.

Berita Harian X