Selasa, 12 Jun 2018 | 12:25am
YAHYA Amir (tiga dari kanan) bersama ahli dan penerima bantuan menunjukkan beberapa helai baju Melayu, kurung, jubah dan tudung dalam program pemberian pakaian baru dan terpakai secara percuma di Pusat Penukaran Harapan di tingkat atas Surau Al-Hidayah Balai Pukat, Jalan Pantai, Butterworth. - Foto Muhammad Shalaby Shahbuddin

Baju kurung istimewa untuk ibu tunggal dari D'Ikhlas

BUTTERWORTH: "Kami menyediakan baju kurung istimewa, khas kepada ibu tunggal yang mempunyai empat anak ke atas."

Itulah kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Utara Malaysia (D' Ikhlas), Yahya Amir, 55, ketika ditemui dalam program pemberian pakaian baharu dan terpakai di Pusat Penukaran Harapan di tingkat atas Surau Al-Hidayah Balai Pukat, Jalan Pantai di sini, semalam.

Yahya berkata, program kali ketiga dianjurkan pihaknya itu adalah bertujuan membantu golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan gelandangan mendapatkan pakaian baru dan terpakai secara percuma terutamanya dalam persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang nanti.

Beliau berkata, kebanyakan pakaian untuk kanak-kanak hingga dewasa diperoleh daripada dana hasil kutipan 47 ahli D'Ikhlas dan sumbangan beberapa individu bertujuan meringankan beban golongan yang begitu memerlukan, terutamanya mempunyai bilangan anak ramai.

"Pelbagai jenis pakaian disediakan seperti baju melayu, baju kurung, tudung, baju T (t-shirt), blaus, jubah, jeans, cadar, selimut dan lain-lain lagi disediakan buat mereka.

"Paling menarik, pihak kami menyediakan baju kurung serba baru buat ibu tunggal yang mempunyai empat anak ke atas, sekali gus dapat meringankan sedikit beban dan menceriakan mereka," katanya.

Yahya berkata, Pusat Penukaran Harapan itu dibuka buat orang ramai bermula seawal jam 10 pagi hingga 1 tengahari sehingga Khamis ini dan akan berterusan dibuka walaupun selepas Aidilfitri bagi memberi peluang dan kesempatan orang ramai mendapatkan pakaian baru dan terpakai.

"Untuk pakaian baharu, seorang hanya diperuntukkan seorang sepasang, manakala yang terpakai boleh diambil seberapa banyak yang mereka inginkan jika benar-benar memerlukan.

"Selain daripada program ini, pihak kami turut menganjurkan 'free market', menyediakan makan malam mingguan kepada gelandangan di bawah 'flyover' berhampiran jeti dan menjana kutipan dana menggunakan banner terpakai dijadikan beg barangan yang dijual bermula RM2 hingga RM4," katanya.

Menurutnya, bagi orang ramai atau individu yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi bank CIMB (8602606357) atas nama Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Utara Malaysia (D'Ikhlas) atau menghubungi Yahya di talian 013-9976162.

Sementara itu, penerima, Mat Yatim Ahmad, 58, berkata, program berkenaan anjuran D'Ikhlas adalah salah satu contoh dan sikap yang terpuji kerana dapat membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan yang tidak dapat membeli baju raya sempena Aidilfitri ini.

"Sudah lama saya tidak membeli baju raya, namun sekarang saya boleh pilih pelbagai jenis pakaian untuk menyambut Aidilfitri nanti.

"Dulu saya hidup sebagai gelandangan, namun selepas berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini hidup saya lebih terjamin apabila dapat bekerjasama dengan mereka untuk membantu golongan susah pula," katanya.

Berita Harian X