Isnin, 11 Jun 2018 | 3:34pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menandatangani sumpah setia sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Persidangan Khas DUN Sabah hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menandatangani sumpah setia sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Persidangan Khas DUN Sabah hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama barisan Kabinetnya berdoa sebelum memulakan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama barisan Kabinetnya berdoa sebelum memulakan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. - Foto BERNAMA

Sidang khas DUN Sabah sah - Shafie

KOTA KINABALU: Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini dijalankan secara sah mengikut Perlembagaan negeri dan mematuhi peraturan DUN, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, persidangan itu dibolehkan berdasarkan keperluan, iaitu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mengangkat sumpah sebagai ahli dewan.

"Ini persidangan yang termaktub dalam Perlembagaan. Ia dibolehkan jika ada keperluan, iaitu asasnya ialah ADUN perlu mengangkat sumpah," katanya pada sidang media selepas persidangan DUN di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua ADUN supaya datang pada persidangan hari ini untuk proses angkat sumpah.

Katanya, proses itu penting sebagai pengesahan kepada ADUN menjadi wakil rakyat selepas memenangi pilihan raya dan mereka ada tempoh selama tiga bulan untuk berbuat demikian.

Seramai 43 ADUN mengangkat sumpah termasuk empat ADUN Dilantik dan enam ADUN bekas UMNO yang menyokong kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Mereka ialah ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik), Jamawi Jaafar (Kemabong), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas) dan Datuk James Ratib (Sugut).

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) bersama dua timbalannya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tengah) dan Christina Liew pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. - Foto BERNAMA

Mengenai kedudukan bekas ADUN UMNO itu, Mohd Shafie berkata, mereka kini dalam proses untuk menyertai WARISAN dan parti lain dalam pakatan kerajaan pimpinannya.

"Mereka sudah menyatakan sokongan kepada kerajaan (negeri), jadi saya yakin mereka terus menyokong kita," katanya.

Selain bekas ADUN UMNO, kerajaan pimpinan Mohd Shafie turut diperkukuhkan menerusi kerjasama dengan bekas parti komponen Barisan Nasional (BN), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dengan lima wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Kerajaan negeri turut dibentuk dengan kerjasama PKR dan DAP dengan masing-masing mempunyai dua serta tujuh wakil.

Mengenai keputusan mahkamah menolak tindakan pihak tertentu yang memfailkan injuksi bagi menghentikan persidangan DUN hari ini, Mohd Shafie menyifatkan tindakan itu tepat.

Katanya, keadaan itu adalah sejajar dengan pengasingan kuasa antara badan kehakiman dan perundangan.

Berita Harian X