Sabtu, 9 Jun 2018 | 7:12pm
TERENCE (kanan) bersama Pegawai Penguatkuasa KPDNKK membuat pemeriksaan skim kawalan harga barang musim perayaan Hari Raya di Pasar Besar Teluk lntan. - Foto Abu Bakar Al Sidek

Bantu kerajaan turun harga barang

TELUK INTAN: Kerjasama peniaga perlu dalam menurunkan harga barang keperluan harian bagi membolehkan rakyat menikmati harga berpatutan selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar dilaksanakan pada 1 Jun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Berdamar VR Terence Naidu, berkata kerajaan memerlukan sokongan rakyat termasuk peniaga dalam menangani isu penurunan harga barang keperluan bagi mengurangkan beban rakyat.

Katanya, ketika ini masih banyak barang keperluan yang dijual mahal walaupun GST sudah dimansuhkan dan perkara itu dalam pemantauan kerajaan.

"Rakyat perlu bersabar kerana masih banyak barang keperluan yang mahal. Ia dalam pemantauan kerajaan dan hanya dapat dilaksanakan secara berperingkat.

"Kerajaan komited untuk mengotakan segala janji pada pilihan raya lalu," katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan skim kawalan harga barang musim Aidilfitri di pasar besar Teluk Intan, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam pemeriksaan itu, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Teluk lntan yang diketuai oleh Suhaimi Daim.

Terence berkata, kerajaan sedang berusaha meletakkan Malaysia sebagai antara negara menjual barang keperluan pada harga murah dan munasabah sebagai daya tarikan kepada pelancong untuk membeli-belah di negara ini.

"Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat mengenai peniaga yang ingkar dengan tidak menurunkan harga barangan terkawal boleh menghubungi KPDNKK untuk diambil tindakan segera.

"Aduan boleh dibuat menerusi talian pengguna 1800-886-800 atau hadir ke pejabat KPDNKK terdekat," katanya.

Berita Harian X