Sabtu, 9 Jun 2018 | 4:25pm
ROSLAN (kanan) bersama pekerjanya, Ahmad Rasydan Roseley, 24, menunjukkan murtabak tiga warna yang laris dijual di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
ROSLAN (kanan) bersama pekerjanya, Ahmad Rasydan Roseley, 24, menunjukkan murtabak tiga warna yang laris dijual di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Murtabak tiga warna laris

PERMAISURI: Idea kreatif seorang peniaga bazar Ramadan, di sini memperkenalkan murtabak tiga warna atau dikenali murtabak 'traffic light', menjadikan juadah itu antara paling popular dalam kalangan penduduk setempat.

Roslan Abd Ghani, 32, berkata, dia mencipta menu itu secara spontan kerana sukar antara membezakan murtabak ayam, daging dan daging lada hitam disebabkan warna hampir sama, terutama ketika melayan ramai pelanggan.

"Disebabkan itu saya membuat keputusan untuk mengasingkannya dengan menjadikan ia tiga warna berbeza mengikut isi dalamnya.

"Warna kuning mewakili murtabak daging, merah untuk ayam dan hijau pula berisi daging lada hitam," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Sungai Tarom, di sini, baru-baru ini.

Katanya, setiap hari dia mengadun tujuh kilogram tepung untuk menghasilkan 150 biji murtabak dengan masing-masing 50 biji untuk setiap warna.

"Untuk murtabak lebih lembut dan sedap, saya menggunakan dua biji telur bagi satu murtabak. Jadi keseluruhan telur digunakan adalah 300 biji.

ROSLAN (kiri) dan pembuat murtabak, Ahmad Rasydan Roseley, 24, sedang membuat murtabak tiga warna di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
ROSLAN (kiri) dan pembuat murtabak, Ahmad Rasydan Roseley, 24, sedang membuat murtabak tiga warna di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

"Biasanya, proses mengadun tepung dengan pewarna makanan dilakukan tengah hari untuk memastikan kesegarannya sebelum dicanai, digoreng dan dijual di bazar bermula jam 3.30 petang hingga 7 petang," katanya.

Roslan turut menjelaskan murtabak hijau berisi daging lada hitam lebih laris pada Ramadan ini, berbanding tahun lalu.

"Mungkin sebab kerajaan negeri sudah ditadbir PAS menyebabkan pelanggan lebih teruja beli warna hijau.

"Apapun terpulang mereka untuk memilih yang mana satu kerana harganya sama iaitu RM4 satu," katanya yang berhasrat mengeluarkan murtabak sejuk beku dalam usaha meluaskan perniagaannya.

Dia yang memilik kedai makan, WOW Roti Canai di Bandar Permaisuri sudah berniaga murtabak di bazar Ramadan sejak 2011.

Berita Harian X