Sabtu, 9 Jun 2018 | 4:11pm
NATIPAH Abu (kiri) menyampaikan sumbangan pada Program Bantuan Sumbangan Ihya Ramadan di Kampung Pokok Sena, Baling, hari ini. - Foto Safuri Kamarudin

Himpun sumbangan rakan FB, NGO bantu lebih 100 asnaf

BALING: Lebih 100 asnaf menerima sumbangan daripada hasil kutipan yang dianjurkan pemilik akaun Facebook (FB), Natipah Abu sempena Aidilfitri, tidak lama lagi.

Program yang mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Usahanita Fathonah Daerah Baling itu membabitkan pemberian barangan keperluan seperti beras, gula, telur, minyak, tepung, susu, bihun, biskut dan Milo.

Selain itu, mereka menerima sumbangan pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu.

Natipah berkata, sumbangan adalah hasil sumbangan daripada rakan korporat, persendirian dan rakan FB yang dihimpunkan untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

"Kebanyakan penerima hanya bekerja sendiri seperti menoreh getah, pembantu kedai dan berniaga kuih dengan pendapatan tidak seberapa.

"Malah, penerima juga mempunyai tanggungan untuk menyara keluarga dalam serba kekurangan hingga memerlukan perhatian pihak yang bermurah hati.

"Program ini amat bermakna bagi penerima, apatah lagi mereka akan menyambut Aidilfitri yang memerlukan pelbagai persiapan untuk anak dan keluarga," katanya ketika ditemui pada Program Bantuan Sumbangan Ihya Ramadan di Kampung Pokok Sena, di sini, dekat sini, hari ini.

Pengerusi Kumpulan Usahanita Fathonah Daerah Baling, Norlia Ramli, berkata sumbangan itu amat dihargai penerima yang sering mengeluh disebabkan tidak dapat menoreh getah kerana hujan hampir setiap hari dan harga getah murah.

"Sumbangan ini diharapkan dapat menampung kos pembelian barang dapur mereka," katanya.

Sementara itu, penerima, Suriati Ismail, 44, berkata pemberian sumbangan ini amat besar bagi meringankan bebanan hidupnya sebagai ibu tunggal.

"Saya yang tidak mempunyai pendapatan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli barangan makanan asas," katanya.

Berita Harian X