Sabtu, 9 Jun 2018 | 12:55pm
PENIAGA yang berdaftar dengan sistem GST masih perlu mengemukakan penyata GST-03.
PENIAGA yang berdaftar dengan sistem GST masih perlu mengemukakan penyata GST-03.

Peniaga masih perlu kemuka borang GST-03

ALOR SETAR: Peniaga yang berdaftar dengan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih perlu mengemukakan penyata GST-03, meskipun pelaksanaan cukai itu berkadar sifar sejak 1 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Datuk Johari Alifiah, berkata pihaknya dimaklumkan ada syarikat dan peniaga yang keliru menganggap mereka tidak perlu mengemukakan penyata GST-03.

"Peniaga dan syarikat berdaftar masih bertanggungjawab mengemukakan penyata GST-03 sehinggalah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan.

"Jadi, kita kena memastikan pungutan GST sifar ini dikembalikan kepada kerajaan dengan peniaga harus mengemukakan penyata terbabit, " katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, R Summugam.

Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohamad Fitri Hassan.

R Summugam (kiri) diiringi Johari (kanan) melawat Pasar Besar selepas perasmian Majlis Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam
R Summugam (kiri) diiringi Johari (kanan) melawat Pasar Besar selepas perasmian Majlis Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Pada masa sama, Johari berkata, di Kedah sahaja kira-kira 15,000 peniaga berdaftar dengan sistem GST dengan 98 peratus daripadanya berjaya mengemukakan penyata GST-03 sebelum ini.

Katanya, peniaga perlu akur dengan mengemukakan penyata GST-03 kepada JKDM melalui sistem dalam talian, selaras dengan undang-undang yang termaktub dalam Seksyen 41 Akta GST 2014.

Sementara itu, Mohamad Fitri berkata, sejak 1 Jun lalu, KPDNKK Kedah mencatatkan 18 aduan mengenai GST, termasuk satu notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, hasil pemeriksaan di 789 premis membabitkan 23,670 barangan.

Beliau berkata, 11 daripadanya membabitkan aduan harga masih kekal meskipun selepas pelaksanaan kadar sifar GST dan dua kes salah faham antara peniaga serta pembeli berhubung kadar baru itu.

"Manakala baki kes antaranya membabitkan kenaikan harga, selain kekeliruan mengenai barangan yang memang sifar GST seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Daripada 18 aduan itu, Alor Setar merekodkan bilangan tertinggi iaitu 11 aduan diikuti tiga aduan di Sungai Petani dan masing-masing dua aduan di Kubang Pasu dan Kulim, " katanya.

Berita Harian X