Rabu, 6 Jun 2018 | 3:30pm
EXCO Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf. - Foto Sharul Hafiz Zam
EXCO Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf. - Foto Sharul Hafiz Zam

10 pelan tindakan selesaikan masalah bekalan air

GURUN: Masalah gangguan air di 21 lokasi di negeri ini akan dapat diatasi melalui 10 pelan tindakan di bawah Program Fast Track Penambahbaikan Bekalan Air Kedah - 100 Hari Pakatan Harapan (PH).

EXCO Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf, berkata ini bermakna kerajaan akan berusaha menyelesaikan masalah terbabit dalam tempoh 100 hari selaras manifesto PH Kedah.

Katanya, kerajaan melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi menyelesaikan masalah air membabitkan 2,800 pemilik akaun SADA di kawasan terbabit.

"Pelan tindakan segera itu termasuklah sembilan tindakan pemasangan Mini Booster Pump dan satu tindakan pemasangan paip baharu bagi menggantikan paip lama.

"Kaedah ini akan digunakan dalam tempoh setahun dua ini sementara merangka pelan untuk membina loji air kekal yang lebih besar dengan peruntukkan yang lebih besar kelak.

"Buat masa ini, kos yang dikeluarkan SADA itu perlu dikeluarkan secara berperingkat maka ia akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan secara menyeluruh," katanya ketika ditemui pada program lawatan di Taman Lembah Jerai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Kanan Wilayah Tengah SADA, Hizarruddin Razak dan Ketua Pegawai Operasi SADA, Ismail Mat Zain.

Zamri berkata, setakat ini sebanyak lima pelan membabitkan 1,500 pemilik akaun SADA sudah dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lalu, manakala baki lima pelan yang membabitkan seramai 1,300 pemilik akaun akan dilaksanakan minggu depan.

Katanya, lima kawasan terbabit adalah Padang Garam, Kuala Kedah; Pida 4, Tunjang; Taman Lembah Jerai, Gurun; Batu 8 Jeniang, Sik dan Kampung Kemunting, Kulim.

"Kaedah pemasangan Mini Booster Pump ini digunakan bagi kawasan yang tiada masalah bekalan air sebaliknya hanya mengalami masalah membabitkan tekanan air sahaja," katanya.

Ketika ditanya mengenai program lawatan di Taman Lembah Jerai, Zamri berkata, tangki air di taman ini hanya mampu menyalurkan air kepada 50 daripada 119 buah rumah kerana tekanan air rendah.

"Pemasangan Mini Booster Pump di kawasan perumahan terbabit berjaya menyelesaikan gangguan air yang membelenggu penduduk kawasan terbabit dan sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini lebih selesa dan ceria," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Lembah Jerai, Zaiham Basri,38, berkata mereka selama ini terpaksa mengambil pelbagai inisiatif sendiri untuk mendapatkan bekalan air bersih termasuk kaedah penyaluran sumber air bukit dan juga membeli air minuman yang ditapis dari mesin.

"Hari ini, kami sudah mula dapat bekalan air secara terus ke paip rumah masing-masing. Saya berasa lega kerana masalah ini sudah dapat diselesaikan sekaligus memberi keceriaan buat kami menyambut Aidilfitri," katanya.

Berita Harian X