Rabu, 6 Jun 2018 | 11:24am
KETUA Pegawai Operasi Bank Islam Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff (duduk, kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada warga emas Che Jah Daud, 64, yang menghidap kencing manis pada Majlis Iftar Amal Ihtiman Ramadan hari ini. - Foto BERNAMA

Duit zakat buat beli baju raya adik-adik

KOTA BHARU: "Alhamdulillah. Wang zakat ini nanti boleh saya guna untuk membeli baju raya saya dan adik-adik," kata Nurul Aina Najihah Mohd Nordin, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat.

Menurut pelajar Tingkatan Lima itu, dia dan adik beradik yang lain masih belum membuat persiapan untuk menyambut 1 Syawal.

"Saya, kakak dan adik-adik tidak mahu menyusahkan umi dan ayah. Pekerjaan ayah sebagai buruh kasar dengan pendapatan RM700 sebulan hanya cukup untuk menampung keperluan serta makan minum kami sekeluarga.

"Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, memaksa ayah mengambil upah memasang pendawaian elektrik di rumah penduduk yang memerlukan khidmatnya.

"Memahami situasi ayah yang sanggup melakukan dua pekerjaan dalam satu masa untuk menyara keluarga, saya dan (ahli keluarga) yang lain berkongsi wang zakat yang diberikan kepada kami untuk membeli baju raya baharu kerana tidak mahu membebankan ayah," kata anak kedua daripada 10 beradik itu ditemui pada Majlis Iftar Amal Ihtimam Ramadan Bank Islam 2018 di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, di sini.

Nurul Aina Najihah adalah antara 133 penerima zakat yang disumbangkan Bank Islam Malaysia Bhd untuk meringankan beban golongan memerlukan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Terdahulu Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Sharif menyampaikan sumbangan zakat kepada setiap penerima. Hadir sama, Pengurus Besar Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Mohd Nazri Chik dan Ketua Sumber Manusia, Razman Ismail.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, pada majlis itu, Bank Islam menyumbangkan zakat berjumlah RM138,950.

"Sejumlah RM38,950 diperuntukkan untuk 103 pelajar kurang berkemampuan dari enam sekolah dan turut disampaikan sumbangan untuk pembangunan fasiliti surau sekolah berkenaan, selain 30 asnaf terdiri daripada golongan ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

"Zakat perniagaan tahunan Bank Islam berjumlah RM100,000 turut disalurkan kepada empat institut pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM); Yayasan Islam Kelantan (YIK) ; Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk kebajikan pelajar," katanya.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 50 pek barangan keperluan dapur turut diagihkan kepada asnaf di sekitar Kota Bharu untuk meringankan beban mereka.

"Kami mengharapkan agar bantuan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu serta memberi keceriaan kepada golongan kurang berkemampuan untuk menyambut Aidilfitri nanti," katanya.

Berita Harian X