Selasa, 5 Jun 2018 | 11:18am
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew dan Pengerusi MATTA Kedah/Perlis Mohd Yusin Mohd Yatim hadir pada Majlis Iftar MATTA Kedah/Perlis di sebuah hotel di Alor Setar, malam tadi. - Foto Zuliaty Zulkiffli
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew dan Pengerusi MATTA Kedah/Perlis Mohd Yusin Mohd Yatim hadir pada Majlis Iftar MATTA Kedah/Perlis di sebuah hotel di Alor Setar, malam tadi. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Kerajaan Kedah lonjakkan industri pelancongan negeri

ALOR SETAR: Kerajaan negeri komited melonjakkan industri pelancongan negeri ini dengan melihat keperluan merangka hala tuju dan pendekatan baharu industri terbabit menerusi kerjasama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah/Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata, pendekatan baharu mempromosi Kedah sangat penting berikutan negeri itu agak ketinggalan dalam melakukan inisiatif menarik pelancong terutama ke tanah besar.

"Kita mempunyai pelbagai produk yang menarik untuk diketengahkan seperti Kompleks Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang yang sebenarnya setaraf dengan candi Borobudur di Jawa Tengah, Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja.

"Cuma kita kekurangan inisiatif untuk menarik pelancong ke sini kecuali di Pulau Langkawi malah kita sedar antara cabaran terbesar juga adalah kita kekurangan dana bagi tujuan promosi dan kemudahan lain termasuk logistik.

"Kerana itulah kita perlu bekerjasama dengan MATTA dan persatuan lain berkaitan pelancongan supaya dapat merangka hala tuju serta pendekatan baharu supaya Kedah setanding dengan negeri lain untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar MATTA Kedah/Perlis di sebuah hotel di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi MATTA Kedah/Perlis Mohd Yusin Mohd Yatim.

Kok Yew berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan dan idea daripada pihak swasta termasuk pelabur dalam industri itu supaya ia dapat diketengahkan kepada kerajaan negeri.

"Selepas itu, pihak saya akan lengkapkan satu pelan pelancongan untuk dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri dan seterusnya kepada kerajaan persekutuan," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusin berkata, MATTA Kedah/Perlis yang disertai oleh 250 syarikat pelancongan dan pengembaraan yakin hala tuju industri pelancongan negeri ini akan lebih mantap jika kerajaan negeri serius melakukan promosi dan menyediakan dana untuk kemudahan sektor itu.

"Seperti MATTA Kedah/Perlis sendiri kami ingin tegaskan bahawa kami tidak pernah menganaktirikan daerah lain dalam misi promosi MATTA di dalam dan luar negara.

"Malah bagi membantu kerajaan negeri mempromosi produk pelancongan di Kedah, buat pertama kalinya MATTA Kedah/Perlis akan mewujudkan 11 gerai pameran pada MATTA Fair di PWTC, Kuala Lumpur September ini berbanding hanya lima ruang pameran pada MATTA Fair edisi ke-45 Mac lalu," katanya.

Berita Harian X