Isnin, 4 Jun 2018 | 8:25pm
PEMILIK Fork n Dagger, Suziemah Zainal Abidin (kiri) bersama rakan dihadapan kedai miliknya di Bandaraya Johor Bahru. - Foto Omar Ahmad

Peniaga makanan tidak turunkan harga, kuantiti ditambah

JOHOR BAHRU: Segelintir peniaga kedai makanan di sekitar bandar raya ini tidak menurunkan harga jualan walaupun selepas kerajaan menetapkan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ini kerana menurut mereka, harga makanan siap yang dikenakan sangat munasabah dan tidak pernah dikenakan GST, namun berjanji akan menambah kuantiti hidangan yang disediakan.

Peniaga Bacang Corner Foodzania, Nur Nadia Nordin, 36, berkata dia mengambil inisiatif lain dengan menambah kuantiti makanan yang dijual berbanding sebelum ini.

Katanya, kadar sifar GST menyebabkan harga barangan runcit termasuk bekas makanan, plastik dan kelengkapan lain murah sekitar 40 sen.

Namun, dia tidak boleh menurunkan harga makanan kerana harga yang dikenakan sebelum ini tanpa GST.

"Sejak GST dikenakan, semua pihak termasuk peniaga kecil seperti kami yang terpaksa menyerap kenaikan harga barang, kamilah yang menanggung kenaikan kos disebabkan GST.

"Ini kerana, kita dikenakan GST apabila membeli pelbagai barangan tetapi tidak boleh mengenakan GST kepada pelanggan sebab kita tidak cukup syarat pendapatan untuk mendaftar.

"Jadi, untuk berkongsi rezeki, saya akan menambah kuantiti makanan pada kadar munasabah dengan harga jualan," katanya.

Pandangan sama dikongsi Pemilik Fork n Dagger, Suziemah Zainal Abidin, 29, yang berkata harga makanan sedia ada akan dikekalkan.

Katanya, kadar sifar GST memberi kebaikan kepada peniaga kecil sepertinya yang selama ini terpaksa menanggung kerugian kesan GST.

"Harga tidak turun sebab sebelum ini apabila harga barang naik, ditambah dengan GST, kita memang tidak naikkan harga makanan. Jadi, harga sekarang akan kekal.

"Apabila harga barang naik campur GST, peniaga selalu telan kerugian. Apabila GST tidak ada, ini jadi satu rahmat bagi peniaga macam saya.

"Tetapi untuk peniaga besar yang caj GST kepada pelanggan mungkin mereka boleh pertimbang untuk turunkan harga sebab GST sudah tiada," katanya.

Berita Harian X