Isnin, 4 Jun 2018 | 12:40pm
AHLI Majlis Penasihat Presiden POKB, Mazeree Mohd Nawi (kiri) membantu adik Ahmad Baihaqi Dunia, 7 bersama ibunya Wan Faridah Wan Ibrahim, 52 membeli-belah kelengkapan hari raya anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) di Pasaraya Mydin Kubang Kerian. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

'Sudah lama anak tidak merasai baju raya baharu'

KOTA BHARU: "Pada setiap Aidilfitri sejak 10 tahun lalu, tidak ada baju mahupun kasut baharu untuk anak kerana yang penting, keperluan makan minum kami sekeluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup."

Suri rumah, Wan Faridah Wan Ibrahim, 52, berkata kesemua lima anaknya yang berusia antara tujuh hingga 19 tahun, sudah lama tidak merasai baju raya baharu akibat kekangan kewangan.

Sebaliknya pada pagi raya, beliau berkata, mereka hanya mengenakan pakaian sedia ada atau baju terpakai yang masih elok sumbangan jiran.

"Anak memahami keadaan serta kesukaran hidup dilalui, malah tidak pernah merungut atau meminta daripada saya dan suami. Namun jauh di sudut hati, sudah tentu mereka ingin ada baju raya baharu walaupun cuma sepasang.

"Suami bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan RM650 sebulan. Oleh itu, saya harus berjimat cermat untuk membeli barang keperluan dapur dan menyediakan duit belanja sekolah anak.

"Tambahan pula, suami tidak lagi mampu melakukan kerja berat kerana ada ketika akan berasa kebas dari paras pinggang ke bawah akibat masalah saraf sejak tujuh tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Hari Raya kepada Anak-anak Miskin anjuran bersama Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di sebuah pasar raya di Kubang Kerian, semalam.

Wan Faridah bersyukur kerana anak bongsunya, Ahmad Baihaqi Dunia, 7, bakal merasai pakaian raya baharu untuk kali pertama pada Aidilfitri tahun ini melalui program itu.

Ahmad Baihaqi yang juga kanak-kanak Sindrom Down dan bersekolah di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, adalah antara 160 penerima sumbangan berkenaan.

Katanya, beliau dapat merasai kegembiraan Ahmad Baihaqi apabila dibawa memilih baju raya yang sudah lama diangan-angankan.

"Program ini sangat bermakna kepada golongan kurang berkemampuan seperti kami, apabila dapat memilih sendiri kelengkapan Hari Raya dengan kos RM200 seorang yang sedikit sebanyak meringankan beban keluarga," katanya.

Berita Harian X