Sabtu, 2 Jun 2018 | 8:52pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (tengah) hadir pada majlis iftar amal di Nilai Square. - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN

Peniaga tak mansuh GST akan kena tindakan

NILAI: Peniaga perlu mematuhi keputusan kerajaan supaya menurunkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar seperti diarahkan, berkuat kuasa 1 Jun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata pemansuhan GST dapat menurunkan harga barangan selain menjadikan ekonomi negara lebih baik dan membantu rakyat dalam berbelanja.

Oleh itu, katanya, peniaga tidak boleh memberi alasan untuk tidak menurunkan harga walaupun barangan jualan dibeli ketika dikenakan GST.

"Saya juga berharap peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang selepas GST dimansuhkan.

"Jika ada peniaga yang dikesan berbuat demikian, saya akan arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Amal Agensi Pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, keputusan penurunan GST kepada kadar sifar yang menjadi sebahagian janji Pakatan Harapan (PH) adalah hadiah kepada rakyat sempena Aidilfitri dan kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Minggu lalu, kerajaan mengambil keputusan menurunkan GST yang dikutip sebanyak enam peratus sejak 1 April 2015 lalu, kepada sifar berkuat kuasa 1 Jun.

Perintah pindaan kadar GST itu dibuat menerusi warta Kerajaan Persekutuan, Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Kadar Cukai) (Pindaan) 2018, yang ditandatangani Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X