Jumaat, 1 Jun 2018 | 2:42pm

Pamer harga sebelum, selepas GST sifar

KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor meminta peniaga meletakkan harga sebelum dan selepas pelaksanaan sifar peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Selangor, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, ia bagi memastikan tidak timbul sebarang kekeliruan selain memudahkan pengguna.

"Dalam pemeriksaan hari ini, kami berpuas hati dengan pelaksanaan sifar peratus GST. Sebelum ini, kami sudah hantar pegawai dan juga anggota untuk memantau dan merekod harga beberapa jenis barang untuk pemeriksaan susulan hari ini.

"Kami bandingkan dan mendapati memang ada penurunan harga iaitu semuanya sudah pada paras GST sifar peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat Operasi Catut 4.0 bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah pasaraya borong terkemuka di Taman Sentosa, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kastam Selangor, Datuk Sarip Ismail.

Iskandar Halim turut memuji inisiatif pasaraya borong itu yang mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengambil tindakan segera menukar harga barang walaupun mempunyai ratusan ribu barang.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua peniaga untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Sekiranya mereka gagal menurunkan harga mulai 12.01 minit tengah malam tadi, mereka boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

"Mereka boleh didenda untuk perseorangan RM100,000 untuk kesalahan pertama dan sehinga RM250,000 bagi kesalahan kedua yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

"Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda RM500,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1,000,000 bagi kesalahan kedua," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pengguna yang tidak berpuas hati dan merasakan harga barang tidak diturunkan mereka boleh buat aduan kepada pihak kementerian KPDNKK.

"Jika ada aduan, siasatan akan dibuat dalam tempoh 24 jam. Kami juga tidak akan teragak-agak mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan harga dan Antipencatutan," katanya.

Sementara itu, peniaga, Wan Raihana Salleh, 49, ketika ditemui di pasar raya itu melahirkan rasa syukur apabila perbelanjaan beliau selepas ini sudah lagi tidak dikenakan GST.

TIMBALAN Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Selangor, Datuk Iskandar Halim Sulaiman (dua dari kanan) bersama Ketua Pengarah Kastam Selangor, Datuk Sarip Ismail (kanan) memeriksa harga barangan ketika membuat Operasi Catut 4.0 bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah pasaraya borong terkemuka di Taman Sentosa, Klang. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X