Selasa, 29 Mei 2018 | 10:00am
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusuf. - Foto Angkun Khidri

Usaha naik taraf Bongawan, Kimanis, Membakut

PAPAR: Usaha menaik taraf kawasan Bongawan, Kimanis dan Membakut sebagai sebuah daerah penuh, menjadi fokus utama wakil rakyat Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi memenuhi hasrat penduduk sejak sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusuf, berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Katanya, perkara berkenaan sudah pun diumumkan sejak lima tahun lalu oleh Barisan Nasional (BN) namun masih belum direalisasikan sehingga tampuk kerajaan diambil alih Parti Warisan dan Pakatan Harapan.

"Walaupun bukan kita (WARISAN) yang berjanji dalam isu ini, namun kita akan teruskan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat yang sejak sekian lama mengharapkan sebuah daerah penuh di kawasan ini.

"Justeru, perkara ini akan saya bawa kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) untuk perbincangan lanjut kerana ia bukan saja memberi manfaat kepada penduduk tetapi juga terhadap proses pembangunan di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Papar, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan dan Pegawai Daerah Papar, Adenan Atin.

Dr Daud yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Asas Tani berkata, pihaknya bercadang menjadikan satu lokasi di Bongawan sebagai pusat pentadbiran daerah baru berkenaan.

Katanya, kedudukan kawasan terletak di tengah-tengah di antara Daerah Papar dan Beaufort itu strategik kerana dapat memberi kemudahan kepada penduduk di lokasi berdekatan untuk sebarang urusan.

"Saya cadangkan satu lokasi di Bongawan iaitu Mandahan dijadikan sebagai pusat pentadbiran daerah penuh kerana ia memiliki satu kawasan yang luas khususnya bagi pembinaan pejabat daerah baru.

"Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan lebih mendalam dengan beberapa pihak khususnya Ketua Menteri sebelum sebarang keputusan (lokasi pusat pentadbiran) dimuktamadkan," katanya.

Pada 2012, bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman telah mengumumkan satu daerah penuh baharu merangkumi kawasan Kimanis, Bongawan dan Membakut akan diwujudkan sebelum mengulangi janji sama pada pilihanraya umum baru-baru ini.

Berita Harian X