Ahad, 27 Mei 2018 | 2:41pm
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat (tiga dari kanan) memeriksa harga ikan yang dijual ketika Program Pemantauan Harga dan Bekalan Barang-barangan Keperluan Musim Perayaan di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat (tiga dari kanan) memeriksa harga ikan yang dijual ketika Program Pemantauan Harga dan Bekalan Barang-barangan Keperluan Musim Perayaan di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

28 barangan catat kenaikan harga

JOHOR BAHRU: Kobis bulat import dan cili hijau antara 28 jenis barangan yang dikesan mencatatkan kenaikan harga antara empat hingga 50 peratus.

Ia hasil pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di lapan Pasar Awam utama di seluruh Johor sejak 17 Mei lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat berkata, barangan itu adalah yang termasuk dalam 71 barangan yang dikategorikan di bawah pemantauan 'Price Watch' .

Katanya, pemeriksaan dan tinjauan itu dijalankan setiap hari membabitkan lapan pasar awam utama di setiap daerah di negeri itu.

"Pemantauan mendapati terdapat 28 jenis barangan daripada 71 barang mengalami kenaikan harga antara empat hingga 50 peratus.

"Antara kenaikan yang dicatatkan adalah kobis bulat import dari China yang meningkat daripada RM4 kepada RM5 iaitu peningkatan RM1 di beberapa lokasi.

"Selain itu harga bagi cili hijau juga meningkat dari RM9 kepada RM10 sekilogram," katanya pada sidang media selepas memantau harga barang di Pasar Awam Larkin di sini, hari ini.

Aris berkata, sepanjang tempoh pemantauan juga, pihaknya mendapati 33 jenis barangan direkodkan menunjukkan penurunan harga antara 3.85 hingga 41.67 peratus manakala 10 lagi barangan tidak menunjukkan perubahan harga.

"Harga ayam bersih bagi beberapa pasar di Johor mengalami penurunan 40 sen daripada RM8.20 kepada RM7.80 sekilogram.

"Selain itu terdapat juga barangan yang harganya kekal di semua pasar seperti daging lembu tempatan, kerbau import, kelapa parut, santan dan telur ayam," katanya.

Aris berkata, berikutan harga barangan tertakluk kepada pasaran terbuka, orang ramai diminta menjadi pengguna bijak dengan membuat semakan harga barangan dengan memanfaatkan aplikasi 'Price Catcher' yang membantu membuat perbandingan harga dan lokasi bersesuaian.

Pada masa sama katanya, sepanjang tempoh dua minggu ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan khusus berkaitan kenaikan harga barangan.

Sementara itu mengenai pemeriksaan di Pasar Awam Larkin hari ini, Aris berkata, 10 amaran dikeluarkan kepada peniaga atas kesalahan penipuan timbang dan tiada tanda harga barang sepanjang tiga jam pemeriksaan dijalankan.

"Amaran ini dikeluarkan kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan KPDNKK dan antara kesalahan yang mereka lakukan ialah tidak memaparkan tanda harga serta kesalahan timbang sukat," katanya.

Selain itu katanya, setakat ini 1,620 pemeriksaan di pelbagai premis perniagaan terutamanya di bazar Ramadan dan pasar awam dijalankan sejak 17 Mei lalu.

Aris berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan berterusan di pelbagai jenis premis perniagaan termasuk di kedai runcit, gerai jualan, pasar awam, pasar raya dan restoran bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Berita Harian X