Jumaat, 25 Mei 2018 | 3:34pm
PENDUDUK Marudi mendesak supaya Jalan Marudi - Miri dinaik taraf dengan cepat untuk keselesaan orang ramai yang menggunakan jalan itu. - Foto Kandau Sidi
PENDUDUK Marudi mendesak supaya Jalan Marudi - Miri dinaik taraf dengan cepat untuk keselesaan orang ramai yang menggunakan jalan itu. - Foto Kandau Sidi

Segerakan naiktaraf Jalan Marudi

MARUDI: Lebih 50,000 penduduk di pekan ini mendesak projek menaiktaraf Jalan Marudi sepanjang 43.2 kilometer dipercepatkan supaya tidak membebankan penduduk.

Penduduk mendakwa walaupun lebih separuh jalan menghubungkan Marudi dan Miri itu sudah diturap, namun masih banyak laluan berlubang, berbonggol dan hanya ditabur batu.

Tinjauan NSTP mendapati laluan yang belum berturap ialah dari kawasan berhampiran Jambatan Sungai Arang menuju ke Pekan Marudi.

Turut kelihatan pihak kontraktor yang dilantik masih melakukan kerja menurap jalan di laluan lebih 20 kilometer dari jeti perkhidmatan feri Marudi.

Penduduk Marudi, Aswan Jelani, 45, yang sering berulang alik ke Bandaraya Miri, berkata ketika ini terdapat banyak lubang terdapat di sepanjang laluan itu.

"Bagi penduduk yang menggunakan kenderaan kecil dan rendah, mereka boleh terlanggar permukaan jalan tidak rata," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Balan Maling, 55, menyatakan kebimbangan pembinaan jalan baharu itu mengalami kelewatan kerana ia sepatutnya siap awal tahun ini.

Beliau berkata, penduduk di kawasan itu mengalami kesukaran untuk berulang-alik menggunakan laluan itu terutama ketika hujan.

"Apabila hujan, jalan raya yang belum diturap sangat licin walaupun permukaannya sudah ditabur batu .

"Justeru, kami mahu supaya kerja menaik taraf jalan berkenaan dipercepatkan. Kita juga minta kerajaan Pakatan Harapan membantu menyelesaikan masalah sama," katanya.

PENDUDUK Marudi mendesak supaya Jalan Marudi - Miri dinaik taraf dengan cepat untuk keselesaan orang ramai yang menggunakan jalan itu. - Foto Kandau Sidi
PENDUDUK Marudi mendesak supaya Jalan Marudi - Miri dinaik taraf dengan cepat untuk keselesaan orang ramai yang menggunakan jalan itu. - Foto Kandau Sidi

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil pula ketika dihubungi, berkata projek menaik taraf Jalan Marudi diteruskan seperti biasa.

Katanya, penduduk Marudi perlu bersabar kerana projek berkenaan akan mengambil masa agak lama untuk disiapkan.

Berita Harian X