Ahad, 20 Mei 2018 | 5:23pm
YUSUF menunjukkan sate kong yang dijualnya di Taman Susur Jambu, Sarikei. - Foto Khalid Latif
YUSUF menunjukkan sate kong yang dijualnya di Taman Susur Jambu, Sarikei. - Foto Khalid Latif

'Sate Kong' tarikan Ramadan di Sarikei

SARIKEI: Bermula dengan niat mengisi masa terluang dan menambah pendapatan keluarga, Abang Yusuf Abang Wasli, 63, tidak menyangka 'Sate Kong' yang dijual di hadapan rumahnya di Taman Susur Jambu di sini, mendapat sambutan luar biasa.

Berkat usaha pesara kerajaan ini memperkenalkan kelainan pada sate itu, beliau kini boleh berbangga apabila perniagaannya laris dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk setempat, terutama setiap kali ketibaan Ramadan.

Abang Yusuf berkata, beliau mula berniaga sejak setahun lalu, namun idea menghasilkan sate berkenaan timbul selepas membeli kopi diletakkan dalam tin kecil atau dikenali sebagai 'kong' dalam kalangan penduduk setempat ketika bercuti bersama keluarga di Kuching.

"Sekembalinya ke Sarikei, saya mencuba kelainan dengan meletakkan sate dibakar dalam 'kong' bersama kuah yang diadun dengan resipi istimewa. Harganya pula bergantung pada jumlah dan saiz sate di dalamnya.

"Mungkin sudah rezeki, saya tidak menyangka sama sekali pelanggan memberikan sambutan begitu positif dan sejak itu, sate ini dikenali sebagai sate kong," katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Yusuf berkata, sate dihasilkannya memiliki keistimewaan tersendiri, malah beliau menggunakan ramuan turun-temurun diwarisi keluarganya.

"Rasa sate juga lebih sedap berbanding biasa kerana kuahnya yang lebih pekat. Rata-rata pelanggan memberikan pujian dan itulah yang membakar semangat saya untuk mengembangkan perniagaan ini.

"Ada juga yang menyatakan sate ini wajib dicuba bila datang ke Sarikei sebab tidak ada di tempat lain," katanya.

Mengenai tin kecil digunakan untuk sate itu, Yusuf berkata, beliau tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan kerana ada pembekal.

"Selain sate ayam dan daging lembu, saya jual menjual sate kambing, badal, buntut, kulit bersama nasi himpit. Setiap hari saya mampu melariskan sebanyak 1,000 hingga 1,500 cucuk sate.

"Ia juga mendapat permintaan tinggi pada bulan ini (Ramadan), terutama daripada pelanggan luar Sarikei.

"Bagaimanapun, saya tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan menjelang Aidilfitri kerana jumlahnya terlalu banyak, namun akan menyediakannya seminggu selepas Aidilfitri," katanya.

Berita Harian X