Isnin, 14 Mei 2018 | 1:18pm
 UDA Sulai. - Foto Mohd Adam Arinin
UDA Sulai. - Foto Mohd Adam Arinin

Uda mahu atasi masalah asas di Petagas

PUTATAN: Perubahan menyeluruh, terutama bagi mengatasi pelbagai masalah berkaitan infrastruktur asas yang membelenggu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas di sini, akan diberikan perhatian sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Uda Sulai, berkata perkara itu disuarakan penduduk kawasan berkenaan khususnya berkaitan perparitan.

Katanya, beliau tidak menyangka penduduk Petagas boleh membuat keputusan itu sehingga mampu menumbangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan selama lebih 20 tahun.

"Kita sedar rakyat merungut kerana masalah asas seperti perparitan yang tidak diurus dengan baik hingga menyebabkan banjir di Kampung Petagas, selain jalan raya yang sempit.

"Semua ini adalah perkara utama yang sepatutnya diberikan perhatian tetapi pemimpin sebelum ini berkata Petagas dan Putatan sudah membangun. Sebenarnya, pembangunan di kawasan ini dibawa oleh swasta.

"Kerajaan hanya membuat perancangan tetapi yang melaksanakan kemajuan hingga Putatan menjadi maju dan menjadi tumpuan ialah swasta. Ramai penduduk terabai, terutama yang tinggal dekat sungai dan di kawasan masyarakat Kadazan," katanya kepada NSTP.

Uda bertanding atas tiket Parti Warisan Rakyat Sabah (WARISAN) menewaskan Yahya dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Sehubungan itu, Uda berkata, beliau akan memastikan kerajaan gabungan WARISAN-Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran negeri menyelesaikan masalah asas yang dihadapi penduduk Petagas.

Katanya, beliau juga mahu memastikan sebuah hospital dibina di Putatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih sempurna kepada penduduk Petagas dan Putatan.

"Sekarang hanya ada klinik dengan keadaannya yang kurang selesa kerana sempit selain tiada tempat letak kereta hingga menyukarkan pesakit yang mendapatkan rawatan di sana.

"Semua perkara asas ini iaitu perparitan, jalan kampung dan kesihatan menjadi tumpuan saya untuk diatasi demi kebaikan penduduk Petagas dan Putatan," katanya.

Berita Harian X