Jumaat, 4 Mei 2018 | 12:11pm
TIMBALAN Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Kadar zakat fitrah Pahang RM7 kekal sejak 2009

KUANTAN: Kadar zakat fitrah bagi Pahang kekal RM7 tahun ini berdasarkan harga beras ditetapkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan berkata, kadar itu kekal untuk tempoh 10 tahun berturut-turut sejak 2009.

Bagi melancarkan urusan pembayaran zakat fitrah tahun ini, beliau berkata, seramai 914 amil ditauliahkan untuk melaksanakan kutipan zakat berkenaan di seluruh Pahang.

"Oleh itu, masyarakat Islam di negeri ini dinasihat membayar zakat fitrah hanya kepada amil yang ditauliahkan oleh MUIP.

"MUIP juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian sebagai pilihan kepada masyarakat Islam," katanya pada sidang media di pejabat Dana Wakaf Pahang, di sini hari ini.

Bagi individu yang enggan membayar zakat firah, Wan Abdul Wahid berkata, mereka boleh disabitkan kesalahan mengikut Seskyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Individu yang didapati mengutip zakat fitrah tanpa diberi kuasa oleh MUIP adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Wahid berkata, MUIP memperuntukkan sejumlah RM3.28 juta kepada masjid di negeri ini bagi mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

"Sebagai persediaan menyambut Aidilfitri pula, MUIP akan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan mualaf dengan jumlah peruntukan RM6.06 juta," katanya.

Berita Harian X