Khamis, 3 Mei 2018 | 10:01pm
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak di Dewan Perhimpunan Cina Bentong. - Foto Eizairi Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak di Dewan Perhimpunan Cina Bentong. - Foto Eizairi Shamsudin

PLKI-ECRL sasar latih 3,600 tenaga mahir

BENTONG: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diangkat sebagai hab pekerjaan dengan memberi peluang kepada generasi muda mengikuti kursus diterajui Malaysia Rail Link (MRL).

Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang dilancarkan tahun lalu, sudah melatih 314 pemegang ijazah serta diploma yang diserap bekerja selepas tamat kursus latihan rel selama tiga bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abdul Razak berkata, siri kempen PLKI-ECRL yang diadakan esok bertujuan menarik orang ramai yang ingin mencari peluang bekerja bersama ECRL.

"Projek infra-rakyat ECRL memerlukan 70 peratus tenaga kerjanya diisi rakyat Malaysia dan sasaran kami untuk melatih seramai 3,600 pelatih bermula 2017 sehingga 2022," katanya yang ditemui pada siri Kempen Pengambilan Pekerja di Dewan Perhimpunan China, di sini, hari ini.

PLKI-ECRL dilaksanakan melalui kerjasama antara Malaysia Rail Link (MRL), MRL, kontraktor utama ECRL iaitu China Communications Construction Company (CCCC) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beliau mensasarkan 750 pekerja mengikuti PLKI-ECRL untuk tahun ini.

"Siri kempen di Bentong ini menawarkan 500 peluang pekerjaan untuk diisi dalam pelbagai jawatan sama ada berkemahiran atau separuh mahir," katanya.

Siswazah baharu dalam kejuruteraan awam, termasuk pekerja pembinaan mahir, separuh mahir dan mereka yang berumur antara 18 hingga 35 tahun, digalakkan menghadiri temuduga terbuka.

Sementara itu, Mohamad Hazman Mohamad Yusof, 24 dan Nurhamizan Jefry, 25, graduan Program Latihan Kemahiran Perindustrian ECRL (PLKI-ECRL) berkata, mereka antara peserta pertama program itu.

Hazman berkata, dia mempunyai latar belakang kejuruteraan awam dari Universiti Malaysia Pahang.

"Saya mempunyai pengalaman bekerja sebagai jurutera pembinaan sebelum mengikuti skim latihan PLKI-ECRL.

"Sepanjang tempoh latihan tiga bulan, pelatih terdedah kepada semua subjek berkaitan pembinaan kereta api," katanya.

Bagi Nurhamizan pula, dia teruja apabila terpilih antara dua jurutera wanita yang bekerja di tapak Seksyen 7 (tapak Bentong).

Berita Harian X