Khamis, 19 April 2018 | 2:51pm
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin menerima cenderahati daripada Pengetua SMK Tansau, Siti Salmiah Samaie selepas Majlis Kecemerlangan Pelajar di Putatan. NSTP/NORASIKIN DAINEH.
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin menerima cenderahati daripada Pengetua SMK Tansau, Siti Salmiah Samaie selepas Majlis Kecemerlangan Pelajar di Putatan. NSTP/NORASIKIN DAINEH.

Ramai ahli UMNO keluar parti propaganda pembangkang

PUTATAN: Khabar angin mendakwa ramai ahli UMNO di negeri ini keluar parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya propaganda pembangkang.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin, tidak menafikan ada segelintir ahli UMNO keluar parti namun ia bukan dalam jumlah yang besar.

Katanya, mereka berbuat demikian hanya kerana kecewa dan tidak mendapat apa yang diinginkan.

"Keluar (UMNO) satu, dua orang itu biasa tetapi tidaklah ramai sampai beribu orang. Ada yang mahu jadi calon dan itu biasa terjadi menjelang pilihan raya.

"Tidak ramai ahli UMNO yang keluar parti. Itu cuma propaganda parti pembangkang," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar (MAKeP) Ke-18 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini, hari ini.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, berkata banyak cerita dikitar semula dan ada yang tidak sahih seperti digembar-gemburkan pembangkang.

"Ini cuma khabar angin dan perkara yang ditimbulkan itu dikitar semula dan saya minta orang ramai merujuk sumber berita yang diterima," katanya.

Beliau seterusnya yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) kekal diberi mandat untuk lima tahun lagi kerana sudah membuktikan kemampuannya mentadbir negara serta negeri ini.

"Kita yakin, BN akan menang kerana kita membuat banyak perkara yang baik untuk rakyat, termasuk menurunkan kadar kemiskinan," katanya.

Sebelum ini, parti pembangkang menerusi majlis dianjurkan sering mengumumkan kemasukan ahli baharu dari UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk di Sepanggar yang kemudian dijelaskan kepemimpinan bahagian itu bahawa mereka yang terbabit tidak lagi aktif sebagai ahli.

Sementara itu, mengulas perkembangan pembinaan SMK Petagas, di sini, Yahya berkata, ia sedang dilaksanakan bagi memenuhi pertambahan penduduk di daerah ini.

Berita Harian X