Rabu, 11 April 2018 | 11:04pm
PENGUNJUNG yang hadir karya seni pelukis muda yang dikenali U12. - Foto Luqman Hakim Zubir
PENGUNJUNG yang hadir karya seni pelukis muda yang dikenali U12. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pameran lukisan U12 di Galeri Prima

KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 karya seni yang dihasilkan kumpulan pelukis muda dikenali U12, dipamerkan di Galeri Prima Balai Berita di sini.

Pameran dengan kerjasama Curate Henry Butcher itu yang berlangsung sejak 5 April lalu sehingga Sabtu ini, adalah pameran sulung kumpulan berkenaan yang terdiri daripada 33 pelukis.

Mereka ialah Aiman Aisamuddin, Aiman Shafri, Aimman Hafizal, Amirul Roslan, Amirul Fadzil, Amierul Iskandar, Ammir Zamri, Amsyar Puyuh, Amy Nazira, Azam Nasri, Azizul Nasir, Azrul Fahmi Azman, Diauddin Isa, Effi Syafiq Jusoh, Eman Aimilan, Faiz ZA, Fakhriq Zulkifli, Fareez Fauzi, Firdaus Nordin dan Fitriah Roslan.

Haziq Asyraf, Haziq Syawal, Hidayat Arshad, Izzat Hamdan, Izzuddin Basiron, Khaliq Az-Zahi, Mnhafiz Hamzah, Muadz Abd Rahim, Nabil Adnan, Nurazmi Mohd Noh, Putra Nazri, Shirhan Samsul Bahri, Syafiq Adib, Syahmi Jamaluddin dan Syukur Rani.

Malam ini, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak dan Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib, melihat pameran berkenaan.

Turut hadir, Pengurus Galeri Prima, Azlynn Aziz dan Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn.

Wakil U12, Syukur, 24, ketika ditemui berkata, kumpulan berkenaan terdiri daripada bekas pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berpusat di Seksyen U12, Shah Alam, Selangor.

"Ada lapan studio di Seksyen U12 dengan setiap studio mempunyai antara enam hingga lapan pelukis.

"Saya sendiri membawa tiga karya seni yang dipamerkan di pameran ini dengan setiap lukisan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk disiapkan," katanya.

Sementara itu, Polenn berharap pameran sulung U12 mampu menjadi platform untuk pelukis muda memantapkan lagi karier seni mereka.

"Saya berharap bakat pelukis muda seperti mereka tidak akan disia-siakan," katanya.

Berita Harian X