Isnin, 26 March 2018 | 5:25pm
BERGAMBAR beramai-ramai bersama team Jelajah Basikal seluruh Malaysia yang diketuai Cikgu Samsul (memegang sijil MBOR) sebaik sampai dan mencipta Malaysia Book Of Rekod (MBOR) di SK Intan Perdana, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria
BERGAMBAR beramai-ramai bersama team Jelajah Basikal seluruh Malaysia yang diketuai Cikgu Samsul (memegang sijil MBOR) sebaik sampai dan mencipta Malaysia Book Of Rekod (MBOR) di SK Intan Perdana, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Diserang gajah sebelum catat rekod MBOR

PORT DICKSON: Peristiwa diserang gajah ialah antara cabaran dihadapi orang kurang upaya (OKU) buta, Samsul Anuar Amat Kasi, 47, ketika menjayakan Kayuhan Basikal Jelajah Malaysia 2018 bersama 52 peserta lain sebelum menempa rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), semalam.

Kejadian itu ternyata tidak melemahkan semangat beliau yang juga Guru Kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau untuk menamatkan kayuhan 1,578.3 kilometer (km) selama 16 hari bermula 10 Mac lalu dari Teluk Kemang dan berakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana di sini.

Beliau lebih dikenali sebagai Cikgu Samsul menyelesaikan misi bersama peserta daripada pelbagai jabatan kerajaan, termasuk dua rakan OKU buta dan kudung kaki kanan, yang mencatat rekod kayuhan basikal secara berkumpulan (cacat visual) paling jauh dalam MBOR.

SAMSUL Anuar Amat Kasi. - Foto Mohd Khidir Zakaria
SAMSUL Anuar Amat Kasi. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Dalam insiden pada hari ketujuh kayuhan ketika perjalanan dari Jeli, Kelantan, ke Gerik, Perak, Samsul Anuar berkata, sebaik tiba di Kilometer 107.2, beliau mendengar jurumudinya, Huzaimi Abdullah, menjerit memberi amaran mengenai kehadiran gajah.

"Belum sempat bertanya kepada jurumudi, tiba-tiba saya terasa seperti disepak lalu terpelanting jatuh ke dalam longkang di tepi jalan. Ketika itu, masing-masing tidak dapat berbuat apa-apa tetapi mendengar suara menyuruh saya meniarap menundukkan kepala.

"Bagaimanapun, polis pengiring berjaya mengalihkan tumpuan gajah itu yang kemudian meninggalkan kami. Mujur saya dan dua lagi peserta hanya cedera ringan walaupun basikal kami terpaksa dibaiki untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mengikut perancangan asal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sijil MBOR yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar; Pengarah Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali; dan Pengurus MBOR, Lee Pooi Leng, semalam.

Samsul Anuar berkata, pencapaian itu sekali gus memecahkan rekod peribadinya melakukan kayuhan sejauh 316km pada Jelajah Seluruh Negeri Sembilan 2015.

"Kejayaan ini adalah satu kepuasan bagi saya dan membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk melakukan perkara diminati," katanya.

Katanya, beliau buta selepas ditimpa sakit pada 2004 dan sejak itu, bertekad untuk melakukan suatu yang boleh menyumbang kepada negara tanpa dihalang masalah kecacatan penglihatannya.

Dua rakan OKU beliau yang turut merealisasikan rekod dalam MBOR itu ialah Mohd Shahir Ramli, 28, dan Azman Yeop Akil, 48, dengan dibantu jurumudi masing-masing.

Samsul Anuar yang juga ketua kayuhan itu berkata, program kali ini dijayakan dengan kerjasama Persatuan Sukan OKU Penglihatan Negeri Sembilan dan mendapat tajaan pihak seperti kerajaan negeri serta Kementerian Belia dan Sukan.

Keterangan gambar

1. Tun Hairudin mengucapkan tahniah kepada Samsul Anuar selepas peserta tiba di pekarangan SK Intan Perdana, Port Dickson.

2. Tun Hairudin bersama Samsul Anuar dan peserta lain yang berjaya mencipta rekod dalam MBOR.

Berita Harian X