Isnin, 19 March 2018 | 12:18pm
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah bersalaman dengan peserta pada Majlis Perasmian Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Penutupan Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Negeri di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah bersalaman dengan peserta pada Majlis Perasmian Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Penutupan Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Negeri di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Jelajah Masjid Berbasikal Pahang masuk MBOR

PEKAN: Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Pahang di 10 masjid di daerah ini dan Rompin diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana berjaya mengumpul 5,707 peserta secara langsung untuk program berkenaan.

Kayuhan bermula dari Politeknik Muadzam Shah, Rompin menuju Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj di sini melalui Chini Timur-Paloh Hinai-Kampung Temai sejauh 170 kilometer.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima sijil pengiktirafan daripada Pengasas MBOR, Tan Sri Danny Ooi pada majlis perasmian Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Penutupan Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pengarah program jelajah itu, Mohd Rosdi Ripin, berkata program yang bermula 14 Mac lalu, bertujuan memberi kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan berdakwah dengan mengajak umat Islam menjaga solat berjemaah terutama di masjid dan surau.

Katanya, seramai 100 penuntut lelaki Politeknik Muadzam berkayuh di Masjid Politeknik Muadzam Shah, Rabu lalu, manakala 60 penuntut perempuan terbabit dengan aktiviti dakwah di masjid.

"Pendekatan kami gunakan adalah mengajak penduduk kampung di sekitar kawasan masjid untuk (solat) berjemaah selain pengisian dakwah lain," katanya.

Mengulas pengiktirafan diterima, Mohd Rosdi berkata, program dianjurkan bersama kerajaan negeri, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik Muadzam Shah, diiktiraf kerana kejayaan mengumpulkan peserta secara langsung.

Katanya, pendekatan jelajah berbasikal yang dipilih bertujuan mendekatkan peserta dengan masyarakat setempat selain mampu menarik golongan muda mengimarahkan masjid.

"Ini kali pertama program sebegini dianjurkan dan tidak hanya berjaya mencapai sasaran bahkan memperteguhkan lagi peranan dan tanggungjawab masjid selaku pusat penyebaran Islam dan perpaduan umat.

"Baginda Tengku Abdullah juga memuji kesungguhan dan iltizam pelajar menjayakan program ini," katanya.

Berita Harian X